Anda di sini

Guru muda gigih redah hutan demi murid

Advertisement
 Keadaan muka bumi di kawasan Long Sukang yang mencabar.
MENCABAR: Keadaan muka bumi di kawasan Long Sukang yang mencabar.
 Anak-anak muridnya menyambut kehadiran cikgu kesayangan ketika menyerahkan latihan sekolah.
TERUJA: Anak-anak muridnya menyambut kehadiran cikgu kesayangan ketika menyerahkan latihan sekolah.
 Nazmi bersama anugerah SGHA yang diterimanya.
WIRA NEGARA: Nazmi bersama anugerah SGHA yang diterimanya.
 Nazmi (duduk kiri) menumpang kenderaan penduduk yang membawa makanan untuk menghantar lembaran kerja ke rumah murid pedalaman.
PENGHANTARAN: Nazmi (duduk kiri) menumpang kenderaan penduduk yang membawa makanan untuk menghantar lembaran kerja ke rumah murid pedalaman.
 Nazmi memastikan lembaran kerja tidak tercicir sebelum diserahkan kepada muridnya.
TANGGUNGJAWAB: Nazmi memastikan lembaran kerja tidak tercicir sebelum diserahkan kepada muridnya.
 Nazmi menyerahkan lembaran kerja ke kediaman muridnya di pedalaman.
INSPIRASI: Nazmi menyerahkan lembaran kerja ke kediaman muridnya di pedalaman.

PENGORBANAN guru muda dari Lawas ini, Muhammad Nazmi Rosli, 27, ternyata menyentuh hati rakyat Malaysia.

Kisah guru bahasa Inggeris yang sanggup menempuh perjalanan selama dua hari untuk menghantar bahan pembelajaran kepada 111 muridnya di 13 kampung pedalaman di Lawas, cukup memberi inspirasi selepas tular April lalu.

Beliau menempuh perjalanan sejauh hampir 200 kilometer seminggu sekali untuk bertemu anak muridnya yang tinggal di Kem Balak, Kampung Pa’ Dadar, Kampung Long Resina, Kampung Pa’ Remirang dan sekitarnya.

Misi guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sukang ini hanya satu iaitu memastikan anak didiknya tidak tercicir dalam pelajaran ketika negara berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

PKP yang dilaksanakan Mac lalu tidak sesekali menjadikan guru muda ini berpeluk tubuh.

Beliau tidak senang duduk apabila memikirkan nasib 111 anak muridnya yang terpaksa belajar dari rumah tanpa kemudahan pembelajaran mencukupi.

Kegusaran itu timbul berikutan sekolah pedalaman itu bukan saja berdepan kekurangan prasarana pendidikan, malah tidak mempunyai capaian Internet untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebagaimana dilakukan murid-murid di bandar.

Jelas Nazmi, ketika PKP diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mula mempromosikan pembelajaran atas talian melalui Google Meet, YouTube dan aplikasi lain.

“Tetapi bagi sekolah di pedalaman  itu semua bukanlah pilihan untuk kami,” katanya ketika berkongsi kisahnya kepada pemberita baru-baru ini.

Nazmi menjelaskan, selain ketiadaan Internet, tidak semua ibu bapa pelajarnya mempunyai gajet, malah di beberapa kawasan disitu bekalan elektrik turut dicatu.

“Berbanding sekolah di bandar, tiada kemudahan Internet dan telefon di tempat kami mengajar.

“Malah kemudahan elektrik juga dicatu, hanya dibenarkan guna elektrik bermula jam 6.30 petang sehingga 11 malam,” katanya.

IDEA TERCETUS

Sebagai guru yang sudah empat tahun mengajar di sekolah pedalaman itu, beliau bersama rakan lain tidak lena tidur mengenang kesukaran anak-anak muridnya belajar ketika berada di rumah.

“Sebagai guru-guru di pedalaman, kami sudah kehabisan idea bagaimana hendak membantu pelajar kami,” ujarnya.

Bagaimanapun menurutnya, tercetus idea untuknya membuat penghantaran lembaran kerja sekolah ke kampung-kampung pada PKP lalu.

Jelasnya, idea menghantar lembaran kerja ke rumah ibu bapa pelajarnya tercetus selepas anak-anak di kawasan kejiranannya di bandar Lawas meminta pertolongannya untuk mencetak kerja rumah mereka.

“Murid-murid tersebut bukanlah murid saya, tetapi saya cuma membantu mencetak kerja rumah mereka kerana mereka tidak mempunyai kemudahan mesin mencetak.

“Kebanyakkan ibu bapa mereka akan menghantar kerja rumah anak mereka kepada saya dan saya membantu mencetak dan menghantar kerja terbabit ke rumah masing-masing,” jelasnya.

Jelasnya, ketika itu khidmat penghantaran makanan juga menjadi trend dan boleh dilakukan ke rumah.

“Jika makanan boleh dihantar, kenapa tidak untuk melakukan penghantaran atau agihan ilmu ke rumah-rumah murid demi memastikan mereka tidak tercicir,” ujarnya.

Nazmi memberitahu, ketika itu  belum ada lagi sekolah-sekolah di Malaysia yang berani berbuat demikian iaitu melakukan penghantaran lebaran kerja sekolah ke rumah pelajar.

“Keadaan ini membimbangkan sebab kami tidak mahu pelajar kami di pedalaman ketinggalan.

“Saya kemudiannya menyusulkan inisiatif ini kepada pihak sekolah dan kampung dan selepas pelbagai penilaian dilakukan mereka bersetuju,” ujar beliau lagi.

Tambah beliau, cetakan bahan pembelajaran itu perlu dilakukan kerana guru-guru berdepan kesukaran kerana tidak dapat menjalankan kelas dalam talian untuk 111 murid sekolah berkenaan.

Semua itu diletak di bahunya memandangkan beliau satu-satunya guru yang menetap di Lawas, manakala guru lain telah pulang ke Semenanjung dan Sabah atau berada di kampung masing-masing.

“Bahan pembelajaran ini adalah daripada semua guru sekolah kami, mereka akan berikan kepada saya untuk dicetak dan diagihkan kepada semua murid di kampung tersebut memandangkan kebanyakan guru lain ketika itu berada di kampung masing-masing,” katanya.

NAZMI NEKAD

Nazmi nekad melaksanakan pelan tindakannya sendiri pada minggu kedua PKP dan penghantaran kerja rumah dilakukan merangkumi 13 kampung dan satu kem pembalakan.

Kata Nazmi, untuk mengedarkan bahan cetakan itu beliau mendapatkan pertolongan orang kampung yang berkunjung ke pekan Lawas sekali seminggu untuk mendapatkan bekalan makanan.

Menurutnya, pada peringkat permulaan urusan penghantaran begitu mencabar kerana kawasan petempatan yang agak jauh dari satu kawasan ke kawasan lain, sekali gus menguji kecekalan guru muda ini.

Selain itu beliau dan rakan-rakan lain berdepan kesukaran untuk mencari rumah anak-anak muridnya kerana kediaman mereka terletak di kaki bukit, hutan dan tepian sawah.

“Bermalam di dalam kenderaan, menempuh laluan batu dan balak, menyusuri bukit bukau, kaki gunung, sawah padi sudah sebati bagi kami di pedalaman untuk memastikan anak murid menerima lembaran dan latihan kerja sekolah yang disusun lebih awal.

“Semua ini kami jelajahi demi memastikan mereka tidak tertinggal pelajaran,” ujarnya lagi.

Jelasnya lagi, disebabkan sekatan pihak berkuasa sepanjang PKP urusan kebenaran perlu diambil dan penduduk kampung juga tidak membenarkan mana-mana kereta keluar atau masuk ke kawasan kampung melainkan mereka yang ditugaskan membawa bekalan makanan.

“Kami terpaksa menumpang kenderaan yang membawa bekalan makanan untuk membuat penghantaran kerja rumah.

“Kami mengambil inisiatif tersebut sebab kami tiada pilihan lain untuk buat pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) pada waktu PKP ini,” jelasnya.

Kata Muhammad Nazmi, beliau akan mengutip kerja sekolah yang disiapkan seminggu kemudian ketika menghantar bahan baharu yang merangkumi nota dan latihan baharu.

Beliau memberitahu, mereka mendapat kebenaran daripada Pejabat Pendidikan Negeri (PPD) dan Kementerian Kesihatan (KKM) serta komuniti kampung untuk bergerak ke kampung berkenaan.

“Seorang jururawat juga akan bersama saya, selain pihak pengurusan kampung ketika menghantar bahan pembelajaran kepada murid-murid ini.

“Selalunya saya akan ke kampung ini bersama dua guru secara bergilir kerana bahan-bahan yang dibawa agak banyak,” katanya.

Mereka juga diselia ketat wakil pejabat kesihatan.

“Pelajar pula perlu mencuci tangan sebelum menerima bahan cetakan itu,” kongsinya.

Beliau juga tidak menyangka kisahnya melakukan penghantaran lembaran kerja sekolah tular ke seluruh pelosok Malaysia.

Rentetan itu katanya, semakin banyak pihak sekolah mula cuba mengambil inisiatif yang sama bagi membantu sekolah yang tidak mempunyai kemudahan Internet seperti sekolah pedalaman, sekolah pulau, sekolah orang asli dan sekolah B40.

Inisiatif itu mendapat perhatian pihak KPM dan di sekolah-sekolah yang kurang berkemampuan digalak mencuba pendekatan sama dengan syarat segala prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

SGHA 2020

Pengorbanan Nazmi yang sangguh meredah perjalanan mencabar demi anak muridnya di pedalaman nyata berbaloi apabila menyentuh hati rakyat Malaysia selepas videonya dan kisahnya tular di media sosial.

Beliau juga tersenarai antara 10 pemenang Anugerah Star Golden Heart Award (SGHA) 2020 sebagai wira dan ikon perpaduan negara dalam memberikan sumbangan luar biasa dari segi masa, wang, keselamatan dan keselesaan untuk mewujudkan masyarakat yang lebih baik.

Kemenangan itu adalah melalui inisiatifnya dalam memastikan anak-anak sekolah luar bandar tidak ketinggalan dalam usaha menyediakan pendidikan berkualiti.

“Alhamdulillah daripada lebih 700 nominasi, saya tersenarai 10 pemenang teratas dalam anugerah tersebut.

“Saya tidak pernah menyangka penghantaran kerja latihan ke rumah memberi inspirasi kepada orang lain, sekali gus melayakkan  saya tercalon untuk anugerah ini,” ujarnya.

Nazmi turut berkongsi kemenangan tersebut kepada ahli keluarganya, warga sekolah SK Long Sukang, penduduk di kawasan pedalaman tersebut.

“Terima kasih kerana mempercayai inisiatif ini, terima kasih juga kepada Pejabat Pendidikan Daerah Lawas atas bantuan selama kami bekerja,” katanya.

Ucapan sama turut ditujukan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan @MESTR terutamanya atas sokongan sebelum COD dimulakan serta pihak KPM yang sentiasa peka dengan keadaan mereka di pedalaman.

“Buat permata kami, semua murid saya yang tersayang dari SK Long Sukang, terima kasih semua, ini sangat bermakna bagi saya,” katanya yang merupakan lulusan IPG Kampus Sarawak, Miri.

SGHA yang dianjurkan The Star and Yayasan Star dengan kerjasama Yayasan Gamuda menerima lebih 700 pencalonan tahun ini yang juga menunjukkan peningkatan penyertaan tertinggi.

Dalam pada itu, pemenang anugerah tahun ini mewakili pelbagai kumpulan sosial termasuk menyokong kesihatan persekitaran dan keselamatan makanan, menyokong masyarakat yang rentan, memberikan kualiti pendidikan kepada pelajar sekolah dan mempromosikan penggunaan digital dalam kalangan warga emas.

  • oleh
  • Advertisement