Anda di sini

Faizal Tahir kagum kemampuan anak Sarawak lakar kejayaan di persada dunia

Advertisement
Faizal Tahir bersama Hafiz Suip membuat persembahan pada sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2020.

ASAJAYA: Penyanyi, komposer dan penerbit rakaman terkemuka tanah air Ahmad Faizal Mohammad Tahir atau lebih dikenali sebagai Faizal Tahir kagum dengan semangat anak muda Sarawak sehingga mampu melakar kejayaan di peringkat negara mahu pun di antarabangsa.

Beliau memberitahu, khususnya dalam industri seni, ramai anak Sarawak berjaya menempa nama di persada negara dan dunia.

"Anak Sarawak ini kalau diberi peluang pergi ke luar Sarawak mereka boleh mencapai kejayaan yang sangat luar biasa," katanya semasa tampil pada persembahan istimewa sempena sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2020 di Kompleks Sukan Asajaya di sini hari ini.

Pada masa sama Faizal turut tertarik dengan pelbagai keunikan dan tarikan yang terdapat di negeri ini.

"Pulau Borneo ini masih banyak tempat menarik yang belum diterokai yang kita perlu datang sendiri untuk melihat dan menikmatinya," jelasnya. 

Tambahnya, ini merupakan kali pertamanya menjejak kaki ke Asajaya dan beliau amat teruja dengan semangat ditunjukkan golongan belia dalam bersama-sama membangunkan negeri ini. 

"Saya yakin Sarawak berada atas landasan yang tepat dalam melahirkan pemimpin-pemimpin pelapis untuk negeri ini. 

"Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah kerana menjemput saya dalam meraikan sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2020 ini," ujarnya. 

Pada sambutan itu, Faizal mendendangkan lagu 'Gemuruh Jiwa' dan 'Mentera Semerah Padi' bersama penyanyi kelahiran Sarawak, Hafiz Suip.
 

  • oleh
  • Advertisement