Anda di sini

Alena Murang menang anugerah gaya terbaik di BAMVFest 2020

Advertisement
 

KUCHING: Penyanyi dan juga pemain muzik Sape terkemuka Malaysia, Alena Murang berjaya memenangi Best Styling Award di Buenos Aires Music Video Festival 2020 di Argentina menerusi lagu Midang Midang. 

Keputusan rasmi telah diumumkan di laman rasmi web BAM-V Fest baru-baru ini dan kejayaan itu sekali gus mengetepikan tujuah buah lagu dari pelbagai produksi dari negara luar. 

Lebih membanggakan lagi apabila lagu ini turut tercalon bagi kategori Best International Video yang turut di sertai oleh Ratu Pop Dunia, Madonna. 

Kejayaan berkenaan sememangnya sesuatu yang luar biasa dan berjaya mencipta sejarah baru untuk industri muzik di Malaysia.

Lagu Midang Midang merupakan lagu tradisi kaum Kelabit. 

Sarah Lois merupakan Pengarah dan Stylist bagi muzik video ini manakala idea untuk penggayaan Alena di dalam lagu ini adalah hasil idea daripada Alena sendiri bersama Sarah Lois. 

Jurusolek Artis, Gebriel Padan pula bertindak untuk merealisasikan penggayaan dan juga solekan yang telah ditetapkan untuk Alena dan juga penari-penari di dalam muzik video ini. 

Hasil seni gabungan tiga anak Orang Ulu daripada Sarawak ini juga sangat bermakna kerana menggabungkan  rekaan busana dan aksesori rekaan daripada pereka-pereka dari Sarawak.

Antaranya adalah  Von Jolly Couture, Neng Kho Razali, Raben Beads, Tanoti, Wan Bainun, TeeCode, Karl.Jimmy & Maatin Shakir. 

Kesemua tempat untuk rakaman muzik video ini dibuat di Tanah Tinggi Bario dan juga Pantai Tusan, Miri. 

Sesi penggambaran dan rakaman dibuat dengan kerjasama daripada Project Room & Kanid Studio.

Sementara itu, kemenangan Alena Murang bersama rakan-rakannya dalam Best Styling Award disifatkan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sebagai satu penghormatan kepada Sarawak.

Menurutnya, video muzik ‘Midang Midang’ mempamerkan kepelbagaian dan identiti budaya Sarawak yang digambarkan dalam gaya, motif dan reka bentuk fesyen yang mengagumkan dalam kelasnya tersendiri.

“Ia benar-benar satu penghormatan bagi kita semua di Sarawak untuk mempunyai artis bermain sape seperti Alena, yang telah berjaya menyampaikan mesej mengenai budaya, fesyen dan tradisi unik kita dalam sebuah video muzik yang indah serta hebat.

“Malahan amat menggembirakan apabila melihat pakaian dan aksesori Alena dalam video muzik yang dimenanginya itu adalah hasil tangan pereka fesyen tempatan kita,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.

Tambahnya, “Sebagai menteri bertanggungjawab ke atas pelancongan, saya amat gembira melihat video muzik diambil berlatar belakangkan Tanah Tinggi Bario dan Pantai Tusan yang indah di Miri, yang berpotensi menarik minat penonton dari negara lain terutamanya bagi mereka yang ingin mengetahui lebih banyak mengenai tarikan pelancongan kita,” katanya.

Abdul Karim berkata, sudah pasti video muzik Alena mempunyai potensi untuk mempamerkan budaya Sarawak di pentas dunia dan kementerian mempertimbangkan inisiatif bantuan sebagai sokongan pada masa hadapan.

  • oleh
  • Advertisement