Anda di sini

LPG Petros di pasaran mulai Januari 2021

Advertisement
Abang Johari menunjukkan silinder LPG Petros yang dilancarkan hari ini. Turut kelihatan, Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Hamid. - Gambar Chimon Upon.

KUCHING: Gas Petroleum Cecair atau LPG Petros dijangka akan memasuki pasaran di negeri ini mulai Januari 2021.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata harga bagi satu silinder LPG berkenaan adalah RM26.60 selepas mendapat subsidi 50 peratus oleh kerajaan.

“Harga ini tetap dan telah mendapat subsidi kerajaan kerana harga asal adalah lebih RM50 tetapi selepas subsidi ia dijual pada harga terbabit. Namun dari masa ke semasa jika pengangkutan kita lebih cekap kita akan meneliti lagi harganya kerana mengambil kira masyarakat pedalaman kita,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran LPG Petros (Sarawak Petroleum Berhad) di Kubah Ria di sini, hari ini.

Tambah beliau dengan pengedaran LPG Petros itu ia dijangka mampu memberi banyak manfaat kepada semua pihak.

Beliau berkata ia kerana aktiviti pengedaran LPG terbabit melibatkan banyak rantaian perniagaan dari pengedar, pengangkutan hingga ke isi rumah.

Abang Johari berkata TongGasKamek #TongGasKitai berwarna merah itu berada di pasaran untuk memasak di kedai-kedai makan, gerai-gerai menjual makanan, di restoran atau di rumah yang pasti akan menjadi kebanggaan orang Sarawak.

Jelasnya, gas asli yang berada di perut bumi Sarawak, sama ada di daratan atau di luar pantai bumi bertuah ini adalah amat signifikan kepada negeri ini. 

“Sarawak mempunyai lebih daripada 60 peratus simpanan gas negara dan merupakan pengeluar gas asli terbesar di negara ini. Maka itu kita menubuhkan Petros supaya Sarawak dapat mengambil bahagian dalam industri minyak dan gas. Hari ini salah satu daripada usaha Petros dan saya ucapkan tahniah atas apa yang dilakukan ini,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Lembaga Pengarah Petros Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo dalam ucapannya berkata LPG Petros akan dibekalkan ke kediaman, perniagaan dan industri Sarawak bermula tahun 2021.

“Ia dimulakan dengan di Kuching dan Samarahan dahulu sebelum diperluaskan ke seluruh pada 2022. Kita menyasarkan sekurang-kurangnya satu silinder LPG Petros bagi setiap isi rumah di negeri ini pada masa akan datang,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement