Anda di sini

Suspek keempat kes ugut pegawai kastam serah diri kepada polis

Advertisement
Fisol mengadakan sidang media di bilik mesyuarat IPD Sibu hari ini. Turut kelihatan ACP Stanley (kanan).
Fisol mengadakan sidang media di bilik mesyuarat IPD Sibu hari ini. Turut kelihatan ACP Stanley (kanan).

SIBU: Seorang lelaki yang diburu polis kerana disyaki terbabit dalam kes ugutan menggunakan peluru hidup terhadap seorang pegawai Kastam pada 26 November lalu ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Sungai Merah, di sini hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Fisol Salleh berkata, suspek yang berumur 35 tahun tampil di balai berkenaan pada jam 9.10 pagi.

"Suspek akan dipohon reman pada esok hari dan dieskot ke Kuching untuk tujuan siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media sempena lawatan kerja beliau ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Sibu, hari ini.

Hadir sama pada sidang media berkenaan Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit.

Menurut Fisol, hasil ujian air kencing yang dilakukan terhadap suspek didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Katanya, hasil siasatan awal juga mendapati suspek turut memiliki lapan rekod jenayah lampau.

"PDRM memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas terhadap kes ugutan terhadap anggota penguatkuasa," ujar beliau sambil menambah siasatan lanjut masih dilakukan kemungkinan suspek turut terbabit dalam kejadian jenayah lain.

Pada Khamis lalu, seorang pegawai Kastam membuat laporan polis selepas menerima peluru hidup dalam satu bungkusan yang disertakan dengan nota berunsur ugutan, menyebut 'got two bullets, one long one short, which one you want' di kediamannya di Jalan Matang, Kuching.

Bertindak di atas laporan tersebut, polis telah menahan tiga lelaki pada Jumaat lalu, yang berumur antara 35 hingga 39 tahun.

Kesemua suspek kini dalam tahanan reman selama empat hari untuk siasatan selanjutnya sehingga esok (1 Disember) dan semakan rekod lampau mendapati dua daripada suspek terlibat dalam kesalahan Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • oleh
  • Advertisement