Anda di sini

RM4 bilion atasi masalah air di Sarawak

Advertisement
 Dr Rundi (enam kiri) merakam kenangan bersama penduduk Rumah Antau serta tetamu lainnya semasa menyempurnakan Bengkel Kepolisan Siri 4 di Rumah Antau, baru-baru ini.
UNTUK ALBUM: Dr Rundi (enam kiri) merakam kenangan bersama penduduk Rumah Antau serta tetamu lainnya semasa menyempurnakan Bengkel Kepolisan Siri 4 di Rumah Antau, baru-baru ini.

SEBAUH: Kerajaan Sarawak telah menambah peruntukan khusus untuk menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan yang dikenal pasti dengan jumlah RM4 bilion dari tahun 2019 hingga 2020.

Menteri Utiliti merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kementeriannya komited untuk menyediakan kemudahan asas yang membabitkan kemudahan bekalan elektrik dan air itu terutama di kawasan luar bandar seluruh Sarawak.

Katanya, pihaknya berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang prihatin terhadap permasalahan rakyat terutama di luar bandar.

Tambahnya, ia merupakan usaha untuk merapatkan jurang pembangunan di luar bandar dengan bandar menerusi penyediaan kemudahan-kemudahan asas terbabit.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Bengkel Kepolisan Siri 4 di Rumah Antau Ulu Sebauh baru-baru ini yang disertai 75 peserta.

Program itu bertujuan meningkatkan kesedaran komuniti terhadap risiko atau ancaman pelbagai situasi seterusnya membina strategi mengurangkan risiko tersebut.

Pada majlis itu, Dr Rundi menyampaikan geran projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM50,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Antau dan RM5,000 kepada Biro Wanitanya bagi membantu pembiayaan pelbagai program di rumah panjang terbabit.

Advertisement