Anda di sini

Monolit misteri di gurun AS dilapor hilang

Advertisement
 Gambar rakaman video pada 24 November lalu sumbangan Biro Aero Keselamatan Awam Bahagian Utah menunjukkan monolit logam tersebut yang dikesan pegawai semasa misi rutin hidupan liar. — Gambar AFP
MISTERI: Gambar rakaman video pada 24 November lalu sumbangan Biro Aero Keselamatan Awam Bahagian Utah menunjukkan monolit logam tersebut yang dikesan pegawai semasa misi rutin hidupan liar. — Gambar AFP

LOS ANGELES: Satu monolit besi misteri yang ditemui di gurun terpencil di barat Amerika Syarikat (AS) dipercayai hilang setelah mencetuskan persoalan bagaimana ia boleh berada di situ, menurut pihak berkuasa kelmarin.

Biro Pengurusan Tanah di Utah menyatakan ia telah menerima laporan yang boleh dipercayai bahawa objek itu telah dipindahkan pihak yang tidak dikenali pada petang Jumaat lalu.

“Biro tidak memindahkan struktur yang dianggap sebagai harta benda persendirian.

“Kami tidak menyiasat jenayah melibatkan harta benda persendirian yang diuruskan pejabat syerif tempatan,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Tiang logam berbentuk segi tiga berkilat yang menjulur kira-kira 12 kaki di kawasan batu merah di selatan Utah telah dikesan pada 18 November lepas oleh beberapa pegawai tempatan yang mengira kambing biri-biri liar dari ruang udara.

Selepas mendaratkan helikopter untuk menyiasat, kru dari Jabatan Keselamatan Awam Utah itu menemui satu monolit besi terpacak pada tanah namun tiada petanda jelas mengenai siapa yang mungkin telah meletakkannya di situ.

Berita mengenai penemuan itu segera menjadi tular dengan ramai yang menyatakan persamaan objek itu dengan monolit makhluk asing yang mencetuskan perubahan besar perkembangan manusia dalam filem sains fiksyen klasik arahan Stanley Kubrick ‘2001: A Space Odyssey’.

Walaupun pihak berkuasa menolak untuk memaklumkan tentang lokasi objek itu kerana bimbang kumpulan pemerhati yang ingin tahu akan berkumpul di gurun terpencil itu, beberapa peneroka telah berjaya mengesannya.

Beberapa pemerhati menyatakan persamaan objek itu dengan hasil kerja ‘avant-garde’ John McCracken, artis tempatan yang pernah tinggal di New Mexico dan meninggal dunia pada 2011. — AFP

Advertisement