Anda di sini

Kerajaan Sarawak setuju membina pusat latihan dan pertandingan wushu dengan kos RM13.2 juta

Advertisement
Chimon Upon
Abdul Karim ditemani Snowdan menunjukkan gambaran pusat latihan dan pertandingan wushu yang akan dibina awal tahun depan. Gambar:Chimon Upon

KUCHING: Hasrat penggiat sukan wushu Sarawak untuk mempunyai pusat latihan dan pertandingan sendiri bakal menjadi realiti apabila kerajaan negeri meluluskan cadangan pembinaan pusat itu yang terletak di Kompleks Sukan Negeri, Petra Jaya. 

Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, projek pembinaan pusat itu dijangka bermula Februari tahun hadapan. 

"Projek ini dianggarkan menelan kos RM13.2 juta yang akan dibina di tapak seluas 3.1 ekar di kawasan Kompleks Sukan Negeri Sarawak, Petra Jaya," katanya pada sidang media sempena lawatan ke tapak projek itu di Majlis Sukan Negeri Sarawak, Petra Jaya hari ini. 

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berkata, pembinaan pusat itu sebagai pengiktirafan kepada sukan wushu atas sumbangan yang besar kepada Sarawak dalam pelbagai kejohanan kebangsaan mahupun antarabangsa.

"Akhirnya kita akan mempunyai pusat latihan wushu di Kompleks Sukan Sarawak. Mereka telah menunggu begitu lama dan saya sangat gembira akhirnya ia diluluskan," tambahnya. 

Malah, beliau memberitahu sukan wushu juga telah banyak mengharumkan nama Sarawak baik di pentas kejohanan kebangsaan seperti Sukan Malaysia (SUKMA).

Katanya lagi, sukan itu telah melahirkan ramai atlet terkemuka seperti Loh Jack Chang, Diana Bong, Kimberly Goh, Thian Ai Ling, Clement Ting dan ramai lagi.

“Sukan wushu jarang menghampakan kita dalam setiap temasya SUKMA dan ia sentiasa menyumbang pelbagai pingat kepada kita.

“Wushu telah banyak menyumbang kepada kita dan mereka berhak mendapat kemudahan untuk berlatih dan menganjurkan pertandingan,” ujarnya. 

Jelas Abdul karim, Persekutuan Wushu Sarawak (WFS) juga sangat komited dalam melahirkan ramai atlet-atlet wushu yang mampu menyinar.

Dalam pada itu, Abdul Karim menjelaskan, Kementeriannya akan tetap meneruskan cadangan untuk mewujudkan sekolah sukan di negeri ini yang dirancang dibina berdekatan Kompleks Sukan Negeri, Petra Jaya. 

Tegas beliau, ia bagi memastikan hasrat Sarawak untuk menjadi negeri kuasa sukan dapat direalisasikan pada masa akan datang. 

Hadir sama Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Nancy Jolhi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Dr Ong Kong Swee.

  • oleh
  • Advertisement