Anda di sini

Kerajaan buat persiapan rapi hadapi banjir

Advertisement
 Abu (empat kiri) menyerahkan cenderamata kepada Dr Abdul Rahman sambil disaksikan Dayang Maimunah (tiga kanan) dan yang lainnya.
TERIMA KASIH: Abu (empat kiri) menyerahkan cenderamata kepada Dr Abdul Rahman sambil disaksikan Dayang Maimunah (tiga kanan) dan yang lainnya.

LIMBANG: Kerajaan membuat persediaan rapi daripada pelbagai aspek bagi menghadapi musibah banjir hujung tahun ini selepas menerima laporan beberapa kawasan sekolah, jalan dan kampung dinaiki air terutama di kawasan rendah dan berisiko yang dikenal pasti di daerah ini.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, persiapan awal diatur bagi memastikan setiap tindakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBBL) serta agensi terbabit dilaksanakan secara teratur.

Kerajaan menurutnya lagi, lebih bersedia berdepan situasi itu dan belajar melalui kitaran pengurusan bencana sebelum ini.

“Memang ada laporan yang diterima daripada pihak sekolah dan penduduk kampung bahawa beberapa kawasan sekolah dan jalan dinaiki air.

“Bagaimanapun keadaan tersebut tidak membimbangkan disebabkan keadaan hujan yang tidak berterusan,” katanya pada Majlis Kesyukuran Jawatankuasa Badan Kebajikan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Islam Daerah Limbang di Dewan Kampung Meritam, semalam.

Turut hadir isteri beliau Datin Dayang Maimunah Awang Mohamad Daud, Pemanca Abu Tinggal dan ketua masyarakat dan ketua kaum Islam lain.

ADUN Bukit Kota itu berkata, hujan lebat kerap mengakibatkan banjir terutama di kawasan rendah.

Jelasnya, meskipun Limbang belum berdepan banjir yang serius namun persiapan rapi dilakukan melalui JPBBL serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Bomba, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membantu.

“Bantuan ini akan diselenggara secara menyeluruh termasuk persiapan kemungkinan pusat pemindahan banjir akan dibuka.

“Berdasarkan trend daripada laporan hujan yang akan turun pada bulan depan, kita akan memberi bantuan yang diperlukan,”katanya.

Berdasarkan kenyataan APM Limbang semalam, kawasan hulu yang terjejas ialah hujung Jalan Medamit, Pangkalan Madang dan Kampung Medait.

Jalan di Kampung Tanjong pula terputus disebabkan limpahan air dari hulu Medamit manakala beberapa kawasan pedalaman yang rendah masih dalam keadaan terkawal.

Sepanjang pemantauan dijalankan,tiada pusat pemindahan dibuka.

Menurut kenyataan tersebut lagi, kejadian hujan pada sebelah petang hingga ke malam di sekitar bandar dan kawasan pedalaman yang rendah mencetuskan risiko banjir kilat terutama kawasan yang berdekatan dengan sungai.

  • oleh
  • Advertisement