Anda di sini

COVID-19: Sarawak rekod dua kes positif import di Limbang libatkan pelajar kolej

Advertisement
Statistik terkini kes COVID-19 direkodkan di Sarawak setakat 30 November 2020.
Statistik terkini kes COVID-19 direkodkan di Sarawak setakat 30 November 2020.

KUCHING: Sarawak hari ini merekodkan dua kes positif COVID-19 di Limbang, yang sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif meningkat kepada 1,064.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata,dua kes itu telah dikesan melalui aktiviti saringan individu yang baharu balik dari kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19 iaitu dari Wilayah Persekutuan Labuan.


“Kes 1,063 dan 1,064 merupakan dua  warganegara yang baharu balik dari Wilayah Persekutuan Labuan. Kedua-dua mereka merupakan pelajar yang menuntut di Kolej Matrikulasi Labuan dan telah dibenarkan pulang ke tempat asal setelah kolej matrikulasi tersebut diarahkan tutup. 

“Sebelum bertolak, mereka telah menjalani ujian RTK Antigen dan didapati tidak reaktif untuk COVID-19,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jawatankuasa itu menambah, kedua-dua mereka telah balik ke Limbang menaiki bot ekspres dari Labuan ke Limbang melalui Dermaga Kastam Limbang. 

“Mereka kemudiannya dimasukkan ke pusat kuarantin untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari dan ujian saringan RT-PCR pada 23 November 2020 telah mendapati kedua-dua kes ini positif untuk COVID-19. 

“Kedua-dua kes ini tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala jangkitan COVID-19 dan kes ini telah dirujuk dan dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Miri,” katanya.

Ujar JPBNS lagi, pengesanan semua kontak rapat kepada kes ini sedang giat dijalankan. 

“Kes dikategorikan sebagai kes yang telah mendapat jangkitan semasa berada di kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19 iaitu Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Dalam pada itu, JPBNS memaklumkan, terdapat enam kluster yang masih aktif di Sarawak iaitu Kluster Besi, Kluster Jalan Abell, Kluster Baki, Kluster Seladah, Kluster Greenhill dan Kluster Wisma Saberkas yang kesemuanya di Kuching.

“Hari ini juga, terdapat dua kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital. Kedua-dua kes ini adalah melibatkan  Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Manakala jumlah kes yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di hospital adalah seramai 23 orang (18 kes di wad pengasingan di HUS, tiga di Hospital Miri dan dua di Hospital Sibu,” katanya.

JPBNS turut memaklumkan terdapat tiga orang yang disyaki (PUI) baru telah dilaporkan dan tiada kes PUI yang menunggu keputusan ujian makmal hari ini.

Daerah Kuching dan Miri menurut JPBNS kekal berstatus Kuning dengan jumlah keseluruhan 14 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas iaitu Kuching (12) dan Miri (2).

Manakala 38 daerah lain di  Sarawak  kekal berstatus  Hijau. 
 

  • oleh
  • Advertisement