Anda di sini

Bantahan antipengguguran gegar Argentina

Advertisement
 Pandangan dari udara menunjukkan aktivis antipengguguran berhimpun membantah draf undang-undang tersebut yang disampaikan Fernandez, di luar Kongres Argentina di Buenos Aires, kelmarin. — Gambar AFP
LUAHAN RASA: Pandangan dari udara menunjukkan aktivis antipengguguran berhimpun membantah draf undang-undang tersebut yang disampaikan Fernandez, di luar Kongres Argentina di Buenos Aires, kelmarin. — Gambar AFP

BUENOS AIRES: Ribuan aktivis antipengguguran yang kebanyakan daripada mereka adalah kumpulan gereja Katolik atau evangelikal serta pertubuhan sivil, menunjuk perasaan kelmarin di sekitar Argentina membantah rang undang-undang baharu yang disokong kerajaan untuk membenarkan pengguguran kandungan dari segi undang-undang.

Kumpulan terbesar berkumpul di Buenos Aires di hadapan bangunan Kongres di mana dijangka akan mula memperdebat perundangan mengenai perkara yang telah memecahbelahkan negara Amerika Selatan yang secara tradisinya Katolik itu.

Penunjuk perasaan di seluruh negara membawa papan tanda dengan slogan seperti ‘Selamatkan Kedua-dua Nyawa’ dan ‘Perarakan untuk yang Belum Dilahirkan’.

Jorge Gomez, pengarah eksekutif ACIERA (Persekutuan Gereja Evangelikal Kristian Argentina) menyifatkan tunjuk perasaan itu sebagai luahan perasaan secara spontan.

Rakyat Argentina yang menyokong hak wanita untuk memilih turut menyeru kepada rakyat agar berkumpul di jalan raya.

Kempen Kebangsaan untuk Hak kepada Pengguguran yang Sah, Selamat dan Bebas pula menggesa para penyokong agar mewarnai Argentina dengan warna hijau pada minggu-minggu akan datang dengan mengibarkan sapu tangan hijau sebagai simbol bagi hak asasi wanita.

Bagaimanapun, Gomez menyatakan tidak sesuai bagi perundangan yang dirangka untuk diluluskan ketika keadaan pandemik dan ketika masyarakat Argentina perlu bersatu bagi menyelesaikan masalah asas seperti kemiskinan.

Ini merupakan kali kesembilan di negara majoriti Katolik itu dan tempat asal Pope Francis, di mana rang undang-undang untuk membenarkan pengguguran kandungan telah dikemukakan di parlimen.

Dalam kejadian terakhir pada 2018, ia mendapat kelulusan Dewan Rakyat namun ditolak di Senat.

Ini akan menjadi kali pertama bagi perundangan sebegini berasal di bahagian eksekutif di negara ini melalui cadangan daripada Presiden Alberto Fernandez.

Fernandez telah menyatakan perundangan yang baharu akan menjamin semua wanita mempunyai akses kepada hak bagi penjagaan kesihatan yang komprehensif.

Di bawah undang-undang pertama yang dikemukakan pada 1920, Argentina membenarkan pengguguran kandungan hanya dalam kes seperti rogol atau meneruskan kandungan akan membahayakan nyawa si ibu. — AFP

Advertisement