Anda di sini

Situasi rabies di Sibu membimbangkan - Dr Annuar

Advertisement
Dr Annuar (tiga dari kiri), Ting (kiri), Siaw (dua dari kiri), Lau (empat dari kanan), Dr Teh ( dua kanan) dan yang lain merakam gambar kenangan pada Program Plogging, Kesedaran Pembasmian COVID-19, Wabak Rabies dan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya di Padang Futsal Kampung Nangka, hari ini.
Dr Annuar (tiga kiri), Ting (kiri), Siaw (dua kiri), Lau (empat kanan), Dr Teh ( dua kanan) dan yang lain merakam gambar kenangan pada Program Plogging, Kesedaran Pembasmian COVID-19, Wabak Rabies dan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya di Padang Futsal Kampung Nangka, hari ini.

SIBU: Situasi rabies di Sibu pada masa ini membimbangkan berikutan 50 peratus sampel anjing yang diambil secara rawak dan dihantar untuk ujian virus rabies adalah positif.

Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Annuar Rapa'ee berkata, sebanyak 104 sampel telah diambil untuk diuji pada tahun ini dan 50 daripada sampel terbabit diuji positif rabies.

"Dalam kata lain, jika ada dua ekor anjing liar di kawasan kamu, salah seekor darinya berkemungkinan positif rabies dan tidak mustahil salah seekor lagi akan turut dijangkiti.

"Sebab itu, jika kamu bertanya kepada saya di mana kawasan panas rabies di Sibu sekarang, saya boleh katakan di mana-mana sahaja jika kita melihat kepada jumlah (positif rabies) ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Plogging, Kesedaran Pembasmian COVID-19, Wabak Rabies dan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya di Padang Futsal Kampung Nangka, hari ini.

Hadir sama Senator Robert Lau Hui Yew, Residen Bahagian Sibu Charles Siaw, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting dan Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu Dr Teh Jo Hun.

Menurut Dr Annuar yang juga Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, beliau bukan berniat untuk menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat, tetapi hanya mahu penduduk di Sibu lebih berwaspada dengan kehadiran anjing liar di kawasan mereka.

Ini kerana, katanya, statistik dari Jawatankuasa Kawalan Penyakit Berjangkit Rabies Bahagian Sibu bagi tahun 2020 menunjukkan bahawa sebanyak 1,801 ekor anjing liar telah berjaya ditangkap.

Pada tahun yang sama, sebanyak 1,350 kes gigitan anjing dilaporkan yang mana daerah Sibu merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 1,213 kes, diikuti 90 kes di Kanowit dan 47 kes di Selangau.

"Sudah tentu pihak berwajib seperti Jabatan Veterinar dan majlis tempatan melakukan pelbagai langkah pencegahan dengan baik memalui program kesedaran dan vaksinasi percuma.

"Tetapi apa yang lebih penting adalah langkah keselamatan yang harus diambil oleh orang ramai dengan memastikan diri mereka tidak digigit anjing, jika digigit, segera ke klinik atau hospital berdekatan untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Lau mencadangkan supaya kemaskini laporan kes rabies di Sarawak khususnya di bahagian Sibu didedahkan kepada orang awam seperti laporan kes COVID-19.

Beliau berkata, orang awam harus dimaklumkan mengenai jumlah dan lokasi terkini kes rabies di kawasan mereka bagi meningkatkan tahap kesedaran akan ancaman wabak ini.

Mengenai perkara terbabit, Dr Annuar bersetuju dengan cadangan tersebut dan beranggapan penting untuk orang awam dimaklumkan dengan baik.

"Seperti laporan COVID-19, setiap hari orang awam dimaklumkan mengenai jumlah kes dan kawasan-kawasan zon merah.

"Oleh itu, kita harus mendapat kebenaran dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), samada kita boleh memaklumkan situasi rabies setiap minggu kepada orang awam," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement