Anda di sini

PSB Cawangan Kuala Rajang dan Semop dilancar

Advertisement
LANCAR Wong memukul gong sebanyak tiga kali sebagai simbolik pelancaran PSB Cawangan Kuala Rajang dan Semop, sambil disaksikan oleh Aditajaya (tengah) dan Raafidin (kanan).
LANCAR Wong memukul gong sebanyak tiga kali sebagai simbolik pelancaran PSB Cawangan Kuala Rajang dan Semop, sambil disaksikan oleh Aditajaya (tengah) dan Raafidin (kanan).

SIBU: Parti Sarawak Bersatu (PSB) Cawangan Kuala Rajang dan Semop di Parlimen Tanjung Manis berjaya dilancarkan di sini, malam kelmarin.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Presiden PSB Dato Sri Wong Soon Koh dengan kehadiran kira-kira 100 ahli.

Turut hadir ialah calon berpotensi untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang iaitu Dato’ Sri Abang Aditajaya Abang Alwi dan Abdul Raafidin Majidi bagi DUN Semop.

Dengan penubuhan dua cawangan itu, Aditajaya dilantik menjadi Protem Ketua PSB Cawangan Kuala Rajang dan Abdul Raafidin selaku Protem Ketua PSB Cawangan Semop.

Wong dalam ucapannya menyeru semua ahli terutama pemimpin-pemimpin PSB bersiap sedia menghadapi PRN12 yang dijangka diadakan dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi.

“Pada PRN akan datang, Aditajaya dan Raafidin akan menjadi harapan penduduk di Kuala Rajang dan Semop.

“Oleh itu, adalah penting bagi pengundi di kawasan ini untuk memberi peluang kepada PSB yang boleh membawa perubahan untuk Sarawak,” katanya.

Wong menambah, calon PSB yang dipilih haruslah berjuang untuk keadilan, kesamarataan dan kemajuan bagi semua rakyat Sarawak tanpa mengira kaum, agama atau budaya.

Beliau berkata, PSB juga akan memastikan rakyat Sarawak, khususnya di kawasan luar bandar seperti di Kuala Rajang dan Semop dapat menikmati bekalan air bersih dan elektrik sepenuhnya dalam tempoh yang singkat.

“Ini kalilah. Harap anda semua terus menyokong PSB dengan kuat dan membawa perubahan yang besar,” ujarnya.

Sementara itu, Aditajaya dalam ucapannya berkata dengan kerjasama serta komitmen 100 peratus daripada semua penyokong dan pengundi, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dapat ditumbangkan pada PRN akan datang.

Beliau juga yakin PSB akan menjadikan negeri Sarawak lebih baik dan hebat di mata rakyat Sarawak.

“Walaupun PSB sebuah parti yang baharu dan lawan kita GPS sebuah parti yang telah lama berkuasa dan kebal, tetapi jangan kita lupa yang menentukan kemenangan dalam pilihan raya adalah dokongan rakyat dan dengan izin Allah SWT, “ katanya.

  • oleh
  • Advertisement