Anda di sini

Perancangan rapi diperlukan untuk bangun prasarana sekolah: Huang

Advertisement
 Huang merakamkan kenangan pada majlis pecah tanah bagi projek pembinaan gelanggang serbaguna SMK St Anthony, Sarikei semalam.
DEMI PENDIDIKAN: Huang merakamkan kenangan pada majlis pecah tanah bagi projek pembinaan gelanggang serbaguna SMK St Anthony, Sarikei semalam.

SARIKEI: Perancangan rapi diperlukan untuk membangunkan prasarana sesebuah sekolah, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok Dato Sri Huang Tiong Sii.

Beliau berkata, sekolah bukan sekadar satu institusi pendidikan tetapi juga pusat untuk melahirkan modal insan berkualiti sebagai pemimpin negara pada masa akan datang.

“Justeru, sejak saya dipilih menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya sentiasa memberi keutamaan dan fokus terhadap pembangunan sekolah.

“Pembangunan modal insan di sesebuah negara adalah perkara utama kerana kemajuan dari aspek ini telah terbukti mampu membawa pembangunan mampan kepada negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis pecah bagi projek pembinaan gelanggang serbaguna Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Anthony di sini, semalam.

Turut hadir ialah Pengetua SMK St Anthony Vincent Liong Shou Chuan, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Reverend Father James Ting, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK St Anthony Maureen Chua dan Pengerusi Persatuan Alumni Sekolah Eric Ling Hung Leong.

Huang berkata, projek itu membuktikan kerajaan Sarawak sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik demi memastikan warga sekolah itu menikmati kemudahan yang lengkap dan selesa.

“Kepesatan pembangunan yang berlaku di Sarikei pada hari ini adalah bertitik tolak daripada usaha dan kesungguhan kerajaan Sarawak yang mahu menjadikan kawasan ini sebagai salah satu pusat pertumbuhan ekonomi di wilayah tengah melalui pelaksanaan pelbagai projek pembangunan yang bermanfaat kepada rakyat.

“Pelaksanaan pelbagai projek pembangunan baharu di kawasan ini membuktikan komitmen padu kerajaan di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersungguh-sungguh membela nasib rakyat,” tegas Huang lagi.

Advertisement