Anda di sini

Pengurangan peratusan pegawai, anggota anak Sarawak yang bertugas di Sarawak perlu diperincikan

Advertisement
Nanta

KUCHING: Cadangan pelaksanaan untuk mengurangkan peratusan pegawai dan anggota  polis dalam kalangan Anak Sarawak yang berkhidmat di  Kontinjen Sarawak perlu diperincikan dengan lebih mendalam.

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ia termasuk rasional di sebalik langkah pengurangan itu kerana menimbulkan keresahan dalam kalangan pegawai dan anggota terbabit, begitu juga dengan keluarga mereka.

Ia juga katanya, akan mewujudkan banyak tanda tanya kepada masyarakat sendiri kerana rekod menunjukkan tidak timbul sebarang masalah atau isu membabitkan pasukan keselamatan itu di Sarawak sebelum ini.

“Saya tidak berniat mahu mencampuri hal ehwal pentadbiran Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Kementerian Dalam Negeri (KDN), namun penjelasan mengenainya adalah perlu bagi mengelak persepsi atau sentimen tertentu dalam kalangan rakyat Sarawak.

“Dan, sebagai wakil rakyat yang mewakili suara Sarawak, perkara ini perlu dibangkitkan untuk diberikan perhatian sewajarnya oleh pengurusan tertinggi PDRM di Bukit Aman,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kenyataan mengenai hasrat PDRM untuk mengurangkan peratusan pegawai dan anggota dalam kalangan Anak Sarawak yang berkhidmat di negeri asal mereka ketika ini.

Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Ramli Din dalam temubual bersama media sempena lawatan kerjanya ke Sarawak pada 20 November lalu berkata, lebih 70 peratus pegawai dan anggota polis berkhidmat di Kontinjen Sarawak ketika ini adalah dari kalangan Anak Sarawak.

Jumlah itu katanya, melebihi sasaran 40 peratus keanggotaan dalam kalangan anak jati negeri yang ditetapkan untuk bertugas di Sabah dan Sarawak dan maka itu langkah pengurangan perlu dilaksanakan secara berperingkat.

Bagaimanapun, Nanta yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna berpendapat tiada halangan jika proses itu membabitkan pegawai kanan yang berpotensi membuka peluang kenaikan pangkat mereka sama ada dipindahkan bertugas ke Bukit Aman, negeri atau daerah lain di luar Sarawak.

Begitu juga katanya, pegawai dan anggota muda bertujuan memberi peluang menimba pengalaman penugasan yang boleh menyumbang kepada pengembangan karier kepolisan mereka.

“Namun, keresahan timbul sekiranya ia membabitkan pegawai dan anggota yang  menghampiri usia berpencen serta sudah membuat persediaan sewajarnya untuk menempuh alam persaraan atau mereka yang sudah berkeluarga. 

“Ini mungkin menimbulkan pelbagai kerumitan kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga masing-masing sekali gus mewujudkan tekanan yang tidak sepatutnya ke atas pegawai dan anggota terbabit khususnya keluarga mereka,” katanya.

Turut dibimbangkan sekiranya mereka dikenakan tindakan, termasuk peluang kenaikan pangkat yang disekat andainya gagal mematuhi arahan perpindahan dikeluarkan, ujar Nanta lagi.

Beliau yakin terdapat mekanisme lain yang lebih bersesuaian untuk proses kenaikan pangkat pegawai dan anggota terbabit, seterusnya kekal menabur bakti di negeri sendiri.

“Justeru, keprihatinan kepemimpinan tertinggi PDRM khususnya Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador amat dialu-alukan bagi memperhalusi perkara ini dan mencari jalan penyelesaian terbaik,” kata beliau.
 

  • oleh
  • Advertisement