Anda di sini

Long Pilah terima peruntukan biayai projek sistem tagang daripada kerajaan

Advertisement
 Abdullah, Dennis dan penduduk tempatan pada majlis penangguhan 'Agriculture Community Outreached Program' ( Agricorp 2020) di Kampung Long Pilah, Baram.
Abdullah, Dennis dan penduduk tempatan pada majlis penangguhan 'Agriculture Community Outreached Program' ( Agricorp 2020) di Kampung Long Pilah, Baram.

BARAM: Penduduk Long Pilah, Baram terima peruntukan RM1 juta daripada Kerajaan Sarawak untuk membiayai projek pemeliharaan ikan melalui sistem tagang di sungai berdekatan kawasan tersebut. 

Majlis penyerahan dana itu disempurnakan Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak Abdullah Saidol yang memberitahu, dana itu dimohon penduduk Long Pilah ketika lawatan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ke Long Pilah pada 30 Oktober yang lepas. 

"Dana ini seperti yang dijanjikan Ketua Menteri untuk membangunkan projek pemeliharaan ikan melalui sistem Tagang dan produk pelancong lain di kawasan ini," katanya pada majlis penangguhan 'Agriculture Community Outreached Program' (Agricorp 2020) di Kampung Long Pilah, di sini pada Sabtu. 

Dalam majlis itu juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu turut menyerahkan dana projek kecil luar bandar (MRP) RM3, 500 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), RM3, 500 kepada Unit Saberkas Long Pilah dan RM5, 000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Long Pilah. 

Pada masa sama Abdullah meminta penduduk Long Pilah khasnya dan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telang Usan memanfaatkan tanah mereka dengan mengambil peluang dalam pertanian moden. 

"Ini merupakan kali pertama saya menjejak kaki ke Long Pilah. Sebuah perkampungan yang terletak hampir 2,000 kaki dari paras laut yang begitu harmoni.

"Program Agricop yang telah diadakan untuk masyarakat Long Pilah serta beberapa penempatan lain yang terdekat membukti potensi aktiviti pertanian di kawasan masyarakat majoriti kaum Kayan.

“Cuaca dan tanah di kawasan ini juga sesuai untuk beberapa jenis tanaman yang mungkin tidak sesuai untuk kawasan saya di pesisir," tambahnya. 

Selain itu, beliau meminta rakyat di negeri ini amnya dan penduduk di Telang Usan khasnya untuk terus memberi sokongan padu kepada kepimpinan Ketua Menteri demi kelangsungan pembangunan yang berterusan. 

Tegasnya, kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipimpin Abang Johari tidak meminggirkan mana-mana kawasan di negeri ini dari segi pelaksanaan projek pembangunan. 

"Tidak ada kawasan yang tidak diberi keutamaan dalam agenda pembangunan negeri termasuk di DUN Telang Usan," ujarnya. 

Abdullah juga memberi perhargaan kepad JKKK Kpg Pilah atas inisiatif projek pemeliharaan ikan melalui sistem tagang yang akan menjadi satu tarikan pelancongan pada masa akan datang.

Terdahulu, ADUN Telang Usan Dennis Ngau berkata, kehadiran Abdullah menunjukkan komitmen tinggi ditunjukkan wakil rakyat Sarawak dalam menunaikan tanggungjawab kepada rakyat. 

Beliau juga berterima kasih kepada Jabatan Pertanian Bahagian Miri kerana dapat melaksanakan program ini dengan jayanya. 

"Saya berharap peserta kursus AgriCOP, bukan sahaja di Long Pilah, tetapi juga yang sudah mengikuti kursus di kampung yang lain dapat memanfaatkan segala ilmu yang diperolehi daripada penceramah kursus yang berpengalaman direalisasikan dengan memulakan penanaman kopi, nanas dan sebagainya agar segala ilmu itu diterjemahkan kepada penghasilan pendapatan," katanya. 

Hadir sama Pengerusi Pengelola AgriCOP Miri Sema Lait, Setiausaha Politik Ketua Menteri Charles Balan Seling, Pegawai Daerah Telang Usan Baru Tai, Pegawai Menguasa Pusat Penyelidikan Pertanian Wilayah Utara, Kabuloh Dr Maclin Dayod dan tetamu kehormat lain. 

  • oleh
  • Advertisement