Anda di sini

Kastam pandang serius kes ugutan bunuh pegawai kanannya - Abdul Latif

Advertisement
 - Gambar fail Bernama

KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) memandang serius terhadap sebarang bentuk ugutan atau ancaman ke atas pegawai-pegawai jabatan itu.

Ketua Pengarah Kastam Malaysia Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir (gambar) menegaskan, pihaknya akan terus menjalankan amanah menjaga keselamatan dan hasil negara melalui penguatkuasaan yang ketat dan tidak akan berkompromi dengan ancaman daripada mana-mana anasir yang ingin menganggu gugat kedaulatan serta keselamatan negara.

Oleh itu, beliau menggesa orang ramai tampil membantu Kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut. 

"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri. 

"Pihak Kastam juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan," tambah Abdul Latif.

Mengulas tentang ugutan jenayah terhadap pegawai kanan Kastam Sarawak baru-baru ini, beliau berkata, insiden ugutan yang berlaku itu dipercayai mempunyai kaitan dengan operasi yang telah dijalankan di Pelabuhan Rajang, Sibu dan Pelabuhan Bintulu bermula pada 21 Oktober 2020 hingga 13 November 2020.

Dedahnya, operasi di kedua-dua pelabuhan tersebut secara keseluruhan telah berjaya menghasilkan nilai rampasan dalam anggaran berjumlah RM2.64 juta dengan anggaran jumlah cukai atau duti terlibat yang dianggarkan sebanyak RM655,301.76.

Pada 26 November 2020 antara jam 11.30 pagi hingga 12.00 tengah hari, Abdul Latif berkata, seorang pegawai kanan Kastam Sarawak telah menjumpai satu sampul surat yang bertulis 'DEATH' di tempat letak kenderaan rumah beliau yang mengandungi dua butir peluru dan sekeping nota dengan tulisan berwarna merah berbunyi 'GOT TWO BULLET ONE SHORT ONE LONG WHICH ONE YOU WANT'.

Jelas beliau, semakan yang dibuat melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati pada jam 7.15 malam, 25 November 2020, sebuah kereta telah berhenti di hadapan rumah pegawai kanan tersebut.

"Kemudian, seorang individu keluar dari kereta dan didapati telah mencampak sesuatu ke ruang letak kenderaan di rumah beliau.

"Pegawai tersebut telah membuat laporan polis pada 26 November 2020 setelah menerima ugutan tersebut dan berpendapat bahawa keselamatan diri serta keluarga beliau terancam. 

"Pada hari yang sama, pihak polis telah pergi ke rumah pegawai tersebut untuk menjalankan siasatan dan mengumpul maklumat," katanya.

Menurutnya lagi, sebelum insiden tersebut, pada 22 November 2020, dua butir peluru yang diisi di dalam sampul surat dengan nota bertulis 'GOT TWO BULLET ONE SHORT ONE LONG WHICH ONE YOU WANT' telah dijumpai di rumah jiran pegawai tersebut yang berhadapan dengan rumahnya. 

Katanya, dipercayai peluru yang dijumpai turut ditujukan kepada pegawai yang sama tetapi telah tersalah hantar.

"Individu yang menerima sampul surat bersama nota ugutan dan dua butir peluru itu juga telah membuat laporan polis dan telah memaklumkan pegawai berkenaan mengenai insiden yang telah berlaku," ujarnya.

Justeru, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana telah bertindak pantas menyiasat dan menangani isu ini sehingga berjaya menangkap tiga individu yang dipercayai dapat membantu siasatan kes ini.

  • oleh
  • Advertisement