Anda di sini

FINAS Cawangan Sarawak aktif bantu pengiat seni tempatan

Advertisement
Norhayati menyampaikan  sumbangan kepada Yepni. - Gambar Muhammad Rais Sanusi
Norhyati menyampaikan sumbangan kepada Yepni. - Gambar Muhammad Rais Sanusi.

KUCHING: Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) Cawangan Sarawak berusaha mengumpul maklumat para penggiat industri seni termasuk artis pelawak negeri ini, untuk diberikan bantuan.

Ahli Perbadanan FINAS, Dato Norhyati Ismail berkata, ia  bertujuan untuk menghulurkan bantuan kepada pemain industri seni tanah air berikutan kesan kepada ekonomi akibat pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

Menurut beliau, FINAS  telah menghulurkan pelbagai bantuan termasuk wang tunai kepada penggiat industri seni sebagai menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) di seluruh negara setakat ini.

“Kita (FINAS Sarawak) sehingga kini masih mencari maklumat-maklumat para pengiat seni di Sarawak termasuk pelakon, penulis skrip, jurukamera, pelawak dan mereka yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak dalam industri.

“Tujuannnya adalah untuk membantu golongan ini, bukan hanya ketika dunia berdepan masalah COVID-19 tetapi juga dalam bentuk situasi lain khas untuk menjaga kebajikan anak seni,” katanya.

Norhyati berkata demikian ketika ditemui selepas mengunjungi kediaman pelawak veteran dan pelakon drama radio (RTM) terkenal tempatan, Dato Yepni Adenan, pada majlis program FINAS Prihatin 2.0 di kediamannya di Lorong 4, Jalan Cendrawasih di sini, hari ini.

Mengulas mengenai program itu, Norhyati berkata, seramai 10 orang pengiat seni di Sarawak telah menerima bantuan CSR dari FINAS sepanjang dua kali program FINAS Prihatin berlangsung.

Program FINAS Prihatin, katanya dikendalikan oleh Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri Kebajikan dan Data Industri dan Jawatankuasa Pembangunan Industri Sarawak.

“Objektif kita melakukan program ini adalah untuk memberikan sumbangan  dan bantuan kepada penggiat industri kreatif khususnya golongan veteran yang mengalami masalaah kesihatan, keuzuran  dan terputus pendapatan akibat penularan COVID-19.

“Sumbangan ini juga diberikan untuk menghargai jasa mereka yang begitu lama  dalam industri seni. Kita harap program ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan,” kata Norhyati.

Sementara itu, Yepni yang ditemui merakamkan  penghargaan dan rasa terharu dengan kunjungan FINAS Cawangan Sarawak.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada FINAS kerana peka terhadap artis yang sudah tidak lagi aktif dalam industri. Mana-mana pihak pun akan terharu apabila masih ada orang yang ingat dekat kita.

“Dalam situasi semasa yang dilanda pandemik COVID-19 ini, saya berharap FINAS  dapat mendekati penggiat industri seni di Sarawak,” katanya.

Terdahulu, Norhyati telah menyerahkan sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan kepada Yepni.  

Selain Yepni,  beliau turut mengunjungi kediaman empat penggiat industri kreatif di negeri ini iaitu Rogayah Busrah, Ali Muhamad, Luli Gagat dan Esther Bayang.

  • oleh
  • Advertisement