Anda di sini

BERSATU perlu tetap fokus berusaha memperkasa parti

Advertisement
 Hajiji berucap menyokong ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU.
BERUCAP: Hajiji berucap menyokong ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU.

KOTA KINABALU: Sebarang kemelut dan cabaran yang dihadapi, tidak seharusnya memesongkan fokus daripada usaha menambah kekuatan Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata kesibukan dalam mengurus tanggungjawab dalam kerajaan tidak seharusnya menjadikan ahli-ahli parti lupa untuk terus berusaha memperkasa parti dan memastikan kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang pilihan raya.

Katanya, BERSATU Sabah menzahirkan sokongan, dokongan dan kesetiaan kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Presiden dan Perdana Menteri Malaysia.

"Sebagai pemimpin dan ahli parti, kita perlu terus bersatu dan menyokong penuh kepimpinan YAB Presiden. InshaAllah, kita mampu keluar dari kemelut serta ujian ini, dan parti serta negara berupaya menjadi lebih perkasa, makmur dan sejahtera. 

"Pra-syaratnya adalah kita mesti bekerja keras dan meletakkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada YAB Tan Sri Presiden untuk memimpin parti dan negara, mendepani cabaran dan sekali gus membawa Malaysia melangkah ke hadapan," katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata BERSATU Sabah mengusulkan beberapa agenda teras yang perlu dilaksanakan segera untuk melonjakkan kekuatan parti.

"Pertama, parti perlu digerakkan secara hikmah dan bijaksana berteraskan agenda perjuangan golongan peribumi, tanpa menafikan hak dan kepentingan kaum-kaum lain. 

"Sejak dari awal penubuhan BERSATU, nama peribumi dan takrifannya dalam Perlembagaan Parti menyatakan secara jelas bahawa peribumi itu, antaranya, meliputi orang asal dan anak negeri Sabah. Takrifan bersifat inklusif ini telah menjadi faktor penarik kepada keyakinan rakyat di Sabah untuk menyertai BERSATU. 

"Begitu juga, kita di Sabah amat menghargai peruntukan perlembagaan yang menggariskan, antara matlamat parti adalah untuk mempertahankan kedudukan istimewa anak negeri Sabah, sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Inti pati perlembagaan parti ini menjadikan BERSATU sebagai wadah yang inklusif, sebuah parti yang merangkumkan aspirasi dan jati diri nasional dan lokal. 

"Sehubungan itu, bukan sahaja BERSATU Sabah meminta agar peruntukan perlembagaan ini dikekalkan, malah strategi dan pendekatan parti di semua peringkat, perlu digerakkan bersandarkan citra inklusif ini. 

"Biar perlembagaan kita, gerakan kita, bicara kita dan tindakan kita, setiap masa menggambarkan keterbukaan dan keterangkuman untuk membawa seluruh golongan peribumi bersama kita di dalam parti BERSATU. Pada masa yang sama, kaum-kaum lain turut selesa untuk bekerjasama melalui wadah Perikatan Nasional," jelasnya.

Bagi usul yang kedua, beliau berkata gerakan penambahan ahli, pendaftaran pemilih dan penubuhan cawangan perlu dilaksanakan secara agresif dengan serta merta dan menambah bahawa kekuatan parti bergantung kepada jumlah ahli dan cawangan. 

"Sejak dari awal penubuhan BERSATU di Sabah, kita telah memohon kebenaran untuk membuka cawangan lebih banyak, tanpa tertakluk kepada jumlah Pusat Daerah Mengundi (PDM). Sehubungan itu, Sabah menyokong sepenuhnya cadangan pindaan perlembagaan, yang membuka ruang kepada penubuhan lebih banyak cawangan mengikut kampung atau lokaliti. 

"Selain membuka ruang kepada pertambahan jumlah ahli, penubuhan lebih banyak cawangan akan membolehkan parti berfungsi dengan lebih berkesan dalam memberikan khidmat kepada rakyat. Sabah juga berharap agar Sistem Keahlian Parti dapat dibuka semula pada kadar segera untuk mempermudahkan urusan pendaftaran ahli yang telah lama tertangguh," katanya.

Sebagai cadangan ketiga, beliau berkata BERSATU Sabah mengusulkan agar parti mempertimbangkan pembentukan sayap ketiga sebagai platform khas yang digerakkan sendiri oleh wanita muda. 

"Berdasarkan data terkini, jumlah keahlian wanita muda di bawah umur 30 tahun di seluruh negara hanyalah pada kadar 20 peratus daripada jumlah keseluruhan ahli Srikandi BERSATU.

"Dengan pelaksanaan Undi-18 yang telah diluluskan di Parlimen, dijangka hampir 1.5 juta pemilih baharu berusia 18 hingga 21 tahun akan layak mengundi pada PRU15 akan datang. Jumlah ini sekali gus menganjakkan jumlah pengundi muda keseluruhan kepada 7.8 juta orang. Daripada jumlah ini, 25 peratus adalah pengundi wanita muda di bawah umur 30 tahun. 

"Melihat kepada angka-angka ini, Sabah berpandangan, parti perlu melakukan langkah pembaharuan bagi menggalakkan partisipasi orang muda khususnya wanita muda di dalam parti," kata Hajiji.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan mencadang usul menyokong ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini kelmarin.

Tambahnya, BERSATU Sabah bersama GRS komited untuk merealisasikan aspirasi dan harapan rakyat serta bertekad untuk memastikan Aku Janji GRS diusahakan sehingga berjaya.

Hajiji berkata bahawa Sabah memerlukan bantuan yang lebih banyak daripada Kerajaan Persekutuan di mana ia perlu menambah dan mencipta hasil baharu untuk negeri, yang juga memerlukan kerjasama pusat untuk menyempurnakan hak dan kepentingan negeri yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Suara memperjuangankan hak dan kepentingan negeri bukanlah suara yang bersifat kenegerian sempit, tetapi perjuangan ini adalah bersandarkan kecintaan kepada tanah air, Malaysia. 

"Kita mahu membina dan melestarikan Persekutuan Malaysia yang lebih aman dan sejahtera, dengan setiap wilayah dan rakyat yang dinaunginya berupaya menikmati kemajuan dan kemakmuran. Kemakmuran Bersama (Shared Prosperity) hanya mampu dibentuk dengan wujudnya Tanggungjawab Bersama (Shared Responsibility)," katanya.

  • oleh
  • Advertisement