Anda di sini

Banjir di Bintulu dipantau rapi agar tindakan segera dapat diambil: Talib

Advertisement
 Talib (dua kanan) meninjau keadaan banjir yang melanda Kampung Kemunting Bintulu sambil diiringi Abu Kassim (kiri).
TINJAU: Talib (dua kanan) meninjau keadaan banjir yang melanda Kampung Kemunting Bintulu sambil diiringi Abu Kassim (kiri).

BINTULU: Banjir yang melanda beberapa kawasan di Bintulu sejak malam kelmarin sehingga pagi semalam dipantau secara rapi agar yang jua yang berlaku melibatkan penduduk akan dapat ditangani dengan cepat.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu termasuk bomba serta agensi penyelamat lain telah memindahkan mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Sekarang kita memantau supaya apa-apa yang berlaku boleh ditangani dengan cepat dan kita juga melihat tapak kawasan ini (di Kampung Kemunting) telah ditinggikan bagi memudahkan penduduk setempat meletak kenderaan mereka supaya tidak ditenggelami air,” ujarnya ditemui pemberita semasa meninjau situasi banjir di Kampung Kemunting di sini semalam.

Talib yang turut disertai oleh rombongan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak berkata, banjir yang berlaku itu akibat pertembungan air pasang dari hulu dengan hujan lebat serta tiupan angin sejak malam kelmarin.

Susulan tinjauan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak itu berkata, setakat ini (semasa berita ini ditulis) keadaan air banjir masih belum surut tetapi penduduk menyatakan keadaan agak reda berbanding malam kelmarin.

Beliau berkata, terdapat 148 rumah di Kampung Kemunting dan banyak rumah yang terjejas dalam kejadian malam kelmarin.

Begitupun katanya, pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan melaksanakan usaha-usaha menangani masalah banjir ini dalam masa terdekat dan tender serta bajet untuk tujuan itu telah diluluskan oleh kerajaan untuk menangani banjir kilat.

Turut mengiringi Talib ialah Ketua Kaum Kampung Kemunting Abu Kassim Hamzah.

Advertisement