Anda di sini

Remaja kelahiran Sabah jadi pelatih kuda pacuan termuda di dunia

Advertisement
 Isabelle berjaya diberi pengiktirafan RSTC dan lesen untuk meneruskan latihan sekali gus menjadi pelatih kuda termuda di dunia.
HEBAT: Isabelle berjaya diberi pengiktirafan RSTC dan lesen untuk meneruskan latihan sekali gus menjadi pelatih kuda termuda di dunia.

KOTA KINABALU: Seawal usia lima tahun, Isabelle Lonjuing Sayeed diberi peluang menunggang kuda bersama datuknya dan dilatih untuk mengejar impian menjadi pelatih kuda pacuan.

Siapa menyangka usianya yang kini 13 tahun berjaya diberi pengiktirafan Royal Sabah Turf Club (RSTC) dan lesen untuk meneruskan latihan sekali gus menjadi pelatih kuda termuda di dunia.

Ia juga melepasi catatan rekod Bailey Rogerson dari New Zealand yang memulakan latihan pada usia 16 tahun.

Isabelle yang berasal dari Penampang  berkata dia menerima lesen sebagai pelatih profesional dan stable agent pada 26 November lalu.

"Saya mula menunggang kuda di Glenora Stables di Kinarut, ketika berusia lima tahun di bawah bimbingan datuk saya dan pelatih, Susan Doughlas serta anak perempuannya Claire Mosun.

"Pada awal tahun ini pula, saya belajar di Kuala Lumpur Academy Of Polo bersama Peter Abisheganaden iaitu mentor saya," katanya semasa ditemui di RSTC, Tuaran.

Menurutnya, sebaik mengumpul pengalaman menjadi pemain polo di bawah Persatuan Polo Sabah, dia turut diberi kepercayaan menjadi kapten pasukan polo wanita pertama di Sabah, El Venato Polo Team yang diasaskannya sendiri.

"Saya sedar jalannya tidak mudah, tetapi dengan sokongan ahli keluarga, saya bersedia menghadapi cabaran yang akan datang," katanya.

Sementara itu, jurulatihnya, Susan Douglas berkata, Isabelle dilatih menerusi kursus intensif pada setiap aspek pengurusan kuda termasuk kuda stabil dan latihan berkuda sebelum menyertai ujian lesen pelatih RSTC.

"Selain memiliki ILS Stable Horse, Isabelle juga diiktiraf sebagai pemula perlumbaan, penguji halangan dan pakar pemakanan di mana ia adalah cabaran tinggi sebagai pelatih kuda pacuan termuda di dunia," ujarnya.

Difahamkan, Pengarah Perlumbaan  RSTC, John Gorton adalah penguji yang mengeluarkan lesen kepada Isabelle.  

Beliau yang berasal dari Afrika Selatan juga adalah salah satu pelumba kuda yang berpengalaman dan menjadi joki teratas di United Kingdom sebelum kembali berlatih di Afrika Selatan dan Australia selain merupakan pelopor perlumbaan di Mongolia serta China.

Isabelle dijadualkan meneruskan latihan dengan juara pelatih Amerika Syarikat, Bob Baffert di negara itu pada musim panas hadapan.

  • oleh
  • Advertisement