Anda di sini

Penghormatan terakhir buat legenda

Advertisement
 Gambar dari pemandangan udara menunjukkan ahli keluarga, saudara mara dan sahabat mendiang Maradona membawa kerandanya untuk disemadikan di tanah perkuburan Jardin Bella Vista di pesisir Buenos Aires. — Gambar AFP
BERSEMADI DENGAN AMAN: Gambar dari pemandangan udara menunjukkan ahli keluarga, saudara mara dan sahabat mendiang Maradona membawa kerandanya untuk disemadikan di tanah perkuburan Jardin Bella Vista di pesisir Buenos Aires. — Gambar AFP

BUENOS AIRES: Orang ramai mengucapkan selamat jalan kelmarin kepada anak kegemaran Argentina Diego Maradona sebelum beliau dikebumikan di pinggir ibu negara selepas upacara yang kadang-kala menjadi huru-hara.

Menjelang senja, legenda bola sepak itu disemadikan selepas upacara yang dihadiri keluarga dan rakan karib di persekitaran hijau tanah perkuburan Bella Vista di luar Buenos Aires.

Salah seorang pemain bola sepak paling hebat sepanjang zaman, pemenang Piala Dunia itu meninggal dunia pada Rabu lepas di usia 60 tahun, yang mencetuskan kesedihan di seluruh dunia.

“Saya sangka Diego tidak dapat mati, saya sangka dia tidak akan meninggalkan kita. Saya rasa amat sedih sekali bagi seorang insan yang membuatkan kita begitu gembira sekali,” kata pemandu bas berusia 63 tahun Antonio Avila di luar tanah perkuburan.

Upacara selamat jalan yang aman di tanah perkuburan itu berbeza sekali dengan senario yang kadang-kadang riuh-rendah ketika upacara selamat jalan kepadanya di Buenos Aires yang nampak seakan-akan cocok dengan kehidupan pemain itu yang bergolak.

Di sana, polis rusuhan melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah dalam pertelingkahan dengan peminat yang melontar batu dan seketika mengancam untuk mencemari hari berkabung bagi seorang wira yang disayangi ramai.

Puluhan ribu orang telah berbaris dari subuh untuk berjalan melintasi keranda bintang itu, yang ditutupi bendera Argentina dan jersi No.10 pemain itu, di istana presiden.

Tetapi menjelang petang, peminat yang berbaris di luar istana menjadi semakin tidak sabar, dan ada yang mengambil alih perkarangan di dalam, di mana mereka melaungkan slogan, yang memaksa pegawai untuk memindahkan keranda Maradona ke bilik lain sebagai langkah berjaga-jaga.

Walaupun pengumuman dibuat sebelum itu tentang lanjutan acara penghormatan selama beberapa jam lagi, pegawai menutup pintu, dan polis rusuhan bertelingkah dengan peminat yang melontar batu di jalan sekitar istana, dan menangkap beberapa orang.

Kemudian kereta mayat yang membawa keranda Maradona bergerak menerusi pagar bangunan presiden dan memasuki jalanan Buenos Aires.

Peminat memenuhi tepi jalan dan jambatan lebuh raya ketika kereta pengebumian memecut ke pinggir barat, dikelilingi polis motosikal dengan penggera yang bergema.

Puluhan jurugambar dan jurukamera mengekori rapat dengan menaiki motosikal.

Maradona, yang begitu mahir dan diingati ramai kerana jaringan “Tangan Tuhan” ketika menentang England pada peringkat suku akhir Piala Dunia 1986, meninggal dunia akibat serangan sakit jantung ketika dia menjalani pemulihan daripada pembedahan otak.

“Dia merupakan yang terbaik di dunia, kita akan merinduinya dan kematiannya menghancurkan jiwa kita,” kata Diego Armando Cabral, seorang penyusun batu bata berusia 29 tahun di Buenos Aires yang dinamakan sempena pemain bola sepak itu.

Penghormatan diterima dari seluruh dunia ekoran kematian bintang itu.

Lionel Messi, bintang zaman moden Argentina, mengetuai penghormatan apabila dia berkata: “Dia sudah meninggalkan kita tetapi dia tidak akan pernah meninggalkan kita kerana Diego adalah abadi.”   

Legenda Brazil Pele, yang berusia 80 tahun dan sering dibandingkan dengan Maardona dalam perdebatan mengenai pemain terbaik dalam dunia bola sepak, berkata dia harap mereka akan dapat “bermain bersama di langit” suatu hari nanti. — AFP

Advertisement