Anda di sini

Liga Europa: Napoli duduki tempat teratas Kumpulan F

Advertisement
 Antara babak aksi perlawanan Liga Europa Kumpulan F di antara Napoli dan Rijeka di Stadium San Paolo, Naples. — Gambar AFP
RANCAK: Antara babak aksi perlawanan Liga Europa Kumpulan F di antara Napoli dan Rijeka di Stadium San Paolo, Naples. — Gambar AFP

PARIS: Napoli memberi penghormatan kepada memori Diego Maradona dengan kemenangan 2-0 ke atas Rijeka yang membolehkan mereka untuk menduduki tempat teratas dalam Kumpulan F Liga Europa dalam perlawanan pertama sejak kematian ikon mereka dari Argentina itu.

Semua anggota pasukan Gennaro Gattuso memasuki padang dengan memakai jersi nombor 10 milik Maradona, yang membantu Napoli memenangi kejuaraan Serie A pada 1987 dan 1990 selain Piala UEFA 1989.

“Diego merupakan seorang legenda dan tidak akan mati,” kata Gattuso selepas perlawanan itu.

“Sejak semalam, anda dapat lihat bahawa bandar raya ini menghirup atmosfera yang berlainan.

“Kami berharap untuk mengabadikan sesuatu yang penting kepadanya dan memenangi trofi.

“Di bandar raya ini, kami sudah bercakap mengenainya selama bertahun-tahun.”

Napoli memastikan peminat yang berhimpun di luar untuk memberi penghormatan mereka kepada Maradona tidak dikecewakan oleh pasukan sekarang apabila jaringan sendiri oleh Armando Anastasio dan penyudah mudah Hirving Lozano menjamin mata penuh.

Napoli kini berada dua mata di depan AZ Alkmaar dan Real Sociedad ekoran keputusan seri mereka di Belanda.

Sebuah lagi kelab dari Itali, Roma, mara ke peringkat 32 terakhir dengan kemenangan 2-0 di kelab Cluj, Romania, manakala Hoffenheim menyertai mereka selepas memastikan kemaraan masing-masing ke dalam pusingan seterusnya dari Kumpulan L.

Terdahulu gol penyamaan minit akhir Jamie Vardy dalam keputusan seri 3-3 yang rancak di Braga membolehkan Leicester City untuk mara ke pusingan kalah mati, di mana mereka turut disertai Arsenal hasil kemenangan 3-0 mereka di Molde.

Leicester kelihatan sudah mati dan terkubur apabila Fransergio meletakkan pasukan tuan rumah 3-2 di depan pada minit pertama dalam masa tambahan, tetapi Vardy menyelinap masuk di tiang belakang sejurus selepas itu untuk menolak masuk gol yang meletakkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu di dalam peringkat 32 terakhir.

Pasukan Brendan Rodgers menduduki tempat teratas dalam Kumpulan G dengan 10 mata, tiga mata di depan Braga di tempat kedua dan tujuh di depan AEK Athens di tempat ketiga dengan baki dua perlawanan lagi ekoran kekalahan 3-0 yang dialami kelab Greek itu di tempat sendiri di tangan Zorya Luhansk.

Tottenham Hotspur terikat sembilan mata dengan pendahulu Kumpulan J Royalk Antwerp selepas mereka menang 4-0 ke atas pasukan tercorot Ludogorets, yang gagal mengutip sebarang mata.

Kemenangan selesa Spurs di tempat sendiri merupakan pentas bagi satu jaringan jarak jauh yang menakjubkan oleh Harry Winks, dengan lariannya dari dekat sayap kiri meletakkan pasukan Jose Mourinho tiga gol di depan ekoran dua gol sebelum itu oleh Carlos Vinícius.

Bagaimanapun Winks mengakui kepada BTS Sport selepas perlawanan bahawa dia sebenarnya tidak menyasari gol.

Lille gagal melayakkan diri selepas mereka hanya mampu seri 1-1 dengan pasukan AC Milan yang tiada Zlatan Ibrahimovic akibat kecederaan.

Kelab Ligue 1 itu menduduki tempat teratas Kumpulan H, satu mata di depan Milan dan dengan Sparta Prague yang berada satu mata lagi di belakang. — AFP

Advertisement