Anda di sini

Isnin harap Ahli Majlis Daerah terus proaktif

Advertisement
 Isnin (tiga kiri) menyerahkan watikah pelantikan kepada salah seorang ahli majlis daerah sempena majlis itu.
SERAH: Isnin (tiga kiri) menyerahkan watikah pelantikan kepada salah seorang ahli majlis daerah sempena majlis itu.

BEAUFORT : Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan Kewangan II, Datuk Isnin Aliasnih berharap 18 ahli Majlis Daerah Beaufort yang dilantik baru-baru ini dapat melaksanakan tugas dengan baik.

Jelas beliau, adalah amat penting bagi setiap ahli majlis daerah bertindak proaktif selari dengan peredaran masa bagi memastikan segala perancangan yang dilakukan mencapai matlamat dan pada masa sama memberi manfaat kepada rakyat.

Justeru Isnin mengingatkan supaya mereka sentiasa mendekati rakyat sebagai usaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada mereka sekaligus membuktikan kepada masyarakat betapa komited mereka dengan tugas yang diamanahkan.

"Selain usaha mendekati rakyat menerusi program turun padang, ahli majlis daerah juga harus memanfaatkan kemudahan teknologi untuk berkomunikasi bagi memastikan sebarang cadangan mahupun aduan dapat diatasi dengan segera dan sewajarnya, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Daerah sesi 2020/2022 yang diadakan di bilik mesyuarat Majlis Daerah Beaufort.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharam dan Pegawai Daerah Beaufort, Abdul Imam Basirun.

Dalam pada itu, Isnin yang juga ADUN Klias berharap gandingan muka baharu dan lama dalam barisan Ahli Majlis Daerah kali ini mampu membantu membawa Majlis Daerah Beaufort ke hadapan dengan lebih baik.

Beliau berharap gandingan mantap tersebut akan diterjemahkan melalui tindakan dengan memfokuskan terhadap usaha-usaha membangunkan Beaufort ke tahap yang lebih baik termasuk menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

  • oleh
  • Advertisement