Anda di sini

Carta organisasi dan ketua jurulatih Sabah FC diketahui Isnin

Advertisement
VERDON
VERDON

KOTA KINABALU: Carta organisasi termasuk individu yang bakal disandarkan sebagai ketua jurulatih Sabah FC bagi mengharungi Liga Malaysia 2021 akan diumumkan pada Isnin (30 November).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Dato' Verdon Bahanda mengesahkan perkara itu ketika dihubungi.

Isnin juga adalah tarikh akhir kelab menghantar carta organisasinya kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Minggu lalu,Verdon telah mengumumkan pengisian tiga jawatan dalam carta organisasinya iaitu Justin Ganai selaku Pengarah Teknikal, Jelius Ating (Pengurus dan jurulatih) dan David Johnny @ Mohd Aiyman (Pegawai Pembangunan Belia).

"Proses penstrukturan kelab berjalan lancar. Saya akan buat pengumuman pada Isnin termasuk  siapa bakal ketua jurulatih Sabah FC bagi mengharungi cabaran Liga Malaysia 2021," kata Verdon.

Penyandang tugas ketua jurulatih adalah antara yang sangat dinanti-nantikan kerana kontrak ketua jurulatih dari Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto musim ini juga tamat pada 30 November.

Kurniawan dilantik sebagai ketua jurulatih yang kosong musim ini (2020) apabila ketua jurulatih sebelumnya, Jelius Ating tidak memiliki lesen kejurulatih Pro A Konfederasi Bola Sepak Asia (lesen Diploma AFC Pro) yang wajib ada untuk membawa pasukan Liga Super.

Jelius yang membawa Sabah kembali ke Liga Super 2020 selaku juara Liga Premier 2019 bagaimanapun terus bersama pasukan sebagai penolong ketua jurulatih musim ini.

Sehingga kini, belum ada jurulatih tempatan Sabah yang memiliki lesen Diploma AFC Pro manakala nasib Kurniawan juga belum pasti.

Verdon ketika ditanya perkara itu juga hanya memberitahu bahawa beliau ada beberapa calon untuk dipilih sebagai ketua jurulatih dan membayangkan antara kriteria utama yang diinginkannya ialah individu itu boleh berkomunkasi baik dengan pemain.

Sambil itu, Verdon dijangka akan turut mengumumkan nasib pemain musim ini yang turut tamat kontrak pada Isnin.

Bagaimanapun, masih ada masa untuk mencari pemain kerana pasukan boleh mendaftarkan pemain bermula 21 November hingga 14 Februari untuk pendaftaran pertama manakala Liga Super dijadualkan bermula pada penghujung Februari.

Ia adalah kali pertama Sabah akan bersaing dalam Liga Malaysia musim depan menerusi kelab yang diswastakan iaitu Sabah FC di mana selama ini ia diwakili persatuan bola sepak negeri (FA).

Penswastaan kelab itu adalah antara  yang diwajibkan FAM dalam usahanya menjadikan industri bola sepak negara diswastakan sepenuhnya pada masa depan.

  • oleh
  • Advertisement