Anda di sini

UCTS meterai MoU secara maya dengan Universitas Bung Hatta

Advertisement
 Dr Khairuddin (dua kanan) sambil disaksikan yang lain menandatangani MoU secara maya dengan Universitas Bung Hatta di Sibu, semalam.
TANDA KERJASAMA: Dr Khairuddin (dua kanan) sambil disaksikan yang lain menandatangani MoU secara maya dengan Universitas Bung Hatta di Sibu, semalam.

SIBU: Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) dan Universitas Bung Hatta yang merupakan sebuah universiti di Padang, Sumatera, Indonesia telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) secara maya atau dalam talian berikutan pandemik COVID-19 di sini, semalam.

Kedua-dua universiti tersebut telah mengadakan MoU secara maya untuk program Diploma Dalam Pengukuran Kuantiti (QS) bagi pelajar Universitas Bung Hatta untuk melanjutkan program tersebut ke peringkat ijazah di UCTS.

UCTS diwakili Naib Canselor Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid, manakala Universitas Bung Hatta diwakili Rektor Profesor Dr Tafdil Husni.

Yang lain termasuk Timbalan Naib Canselor UCTS Prof Dr Azlan Ali dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Perancangan Bandar Universiti Bung Hatta Dr Nengah Tela.

Bercakap pada persidangan video itu Dr Khairuddin berkata, dengan MoU itu pelajar diploma QS Universitas Bung Hatta kini dapat melanjutkan pelajaran di UCTS.

“Mereka memerlukan dua tahun untuk memperoleh ijazah di sini.

“Pelajar-pelajar ini dapat melakukan latihan industri mereka di sini selama satu semester, sementara untuk semester yang selebihnya, mereka dapat melakukannya melalui pembelajaran dalam talian,” katanya.

Beliau menambah bahawa UCTS dapat menerima pelajar mereka kerana Diploma QS mereka diiktiraf badan profesional di Malaysia yang merangkumi Royal Institute of Surveyor Malaysia.

“Sudah ada dua pelajar Indonesia di UCTS.

“Pada asalnya ada 20 orang tetapi selebihnya tidak dapat sampai di sini kerana wabak COVID-19,” kata Dr Khairuddin.

Sementara itu, Dr Tafdil berharap kedua-dua universiti dapat memupuk lebih banyak kerjasama dalam bidang lain untuk kepentingan kedua-dua pihak.

“Saya yakin bahawa MoU hari ini (semalam) akan menjadi landasan kepada perkara yang lain dalam kerjasama antara kedua-dua universiti pada masa akan datang,” tambahnya lagi.

  • oleh
  • Advertisement