Anda di sini

Remaja 14 tahun antara pekerja pusat panggilan judi dalam talian diberkas

Advertisement
 

KUCHING: Empat lelaki warganegara Indonesia termasuk seorang remaja berusia 14 tahun diberkas dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Stutong, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata serbuan yang dilakukan sekitar jam 1.20 petang itu mendapati rumah tersebut dijadikan pusat panggilan judi dalam talian.

Menurutnya, kesemua suspek yang ditangkap berusia sehingga 26 tahun dan dipercayai pekerja di premis tersebut yang beroperasi 24 jam.

"Pusat judi tersebut mengunakan medium WhatsApp dan WeChat untuk berurusan dengan pelanggan atau permain judi dalam talian.

"Pemain akan diberikan kata laluan setelah membuat bayaran sebagaimana diarahkan oleh pengendali judi di pusat tersebut," katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Tambahnya, turut dirampas dalam operasi tersebut ialah beberapa peralatan komputer dan telefon bimbit.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

  • oleh
  • Advertisement