Anda di sini

Program pembangunan sistem transformasi platform perkongsian maklumat pengusaha

Advertisement
 Sarimah (gambar atas) semasa ‘Sesi Perkongsian Mengenai Skim Peningkatan Produktiviti Enterprise (SPPE) 2020’ bersama jemputan dalam sesi secara webinar, semalam.
PERKONGSIAN: Sarimah (gambar atas) semasa ‘Sesi Perkongsian Mengenai Skim Peningkatan Produktiviti Enterprise (SPPE) 2020’ bersama jemputan dalam sesi secara webinar, semalam.

KUCHING: Program pembangunan sistem transformasi anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Sarawak bersama syarikat tempatan akan menjadi platform perkongsian maklumat dalam kalangan pengusaha.

Pengarah MPC Wilayah Sarawak Sarimah Misman berkata, ia juga akan membolehkan pengusaha mempelajari amalan terbaik untuk mengubah cara berfikir dalam pengurusan produktiviti.

“Ia melalui intervensi kreativiti yang boleh membawa kepada pembentukan budaya produktiviti dan inovasi yang menyumbang kepada pencapaian sesebuah syarikat menjadi lebih cemerlang dan berdaya saing.

“Selain itu, program pembangunan ini juga bertujuan memberi motivasi kepada pengusaha mempelajari teknik dan tips perniagaan daripada pemilik-pemilik syarikat yang telah berjaya melonjakkan produktiviti syarikat melalui pelaksanaan geran SPPE ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan ‘Sesi Perkongsian Mengenai Skim Peningkatan Produktiviti Enterprise (SPPE) 2020: Journey to Excellence’ secara webinar di sini, semalam.

Sarimah berkata, antara program pembangunan sistem yang diadakan ialah Amalan Persekitaran Berkualiti 5S/QE, Pengurusan Lean, Kecemerlangan Perniagaan, Pendigitalan, Amalan Pengilangan Baik (GMP), MyGap dan banyak lagi.

Beliau berkata, tempoh program dijalankan antara empat hingga enam bulan yang merangkumi latihan, khidmat nasihat dan bim-bingan oleh MPC.

“Pelaksanaan program ini bertujuan untuk mewujudkan kesedaran dan menerapkan budaya kualiti, produktiviti dan inovasi dalam kalangan peserta selaras usaha me-ningkatkan daya saing syarikat terutama di saat mencabar semasa berlakunya pandemik COVID-19,” ujarnya.

Mengenai webinar yang diadakan katanya, MPC Sarawak menjemput dua pengusaha dari syarikat SPPE untuk berkongsi pengalaman menjalankan projek pembangunan sistem dalam bidang Pengurusan Lean dan Pendigitalan yang memberi fokus kepada mewujudkan laman sesawang serta pe-masaran produk.

“Kajian (DOSM) 2017 mendapati, untuk 2015 perusahaan di Malaysia telah menjana sebanyak RM398 bilion, di mana 16 peratus daripada jumlah pendapatan tahunan tersebut adalah daripada urusniaga e-dagang.

“Ini menunjukkan urus niaga secara digital memberikan kesan positif kepada pendapatan negara.

“Oleh itu, saya amat menggalakkan ramai pengusaha untuk mewujudkan sistem pemasaran produk mereka melalui e-dagang,” katanya.

Sarimah berkata, beliau percaya pelaksanaan program itu mampu memberikan impak kepada produktiviti dan kualiti syarikat.

Advertisement