Anda di sini

Program bersepadu tangani penularan COVID-19 di Kg Bahagia

Advertisement
  Mohd Azhar (kanan) bersama Timbalan Presiden MPS, Farizah Giau (kiri) melihat sendiri  penampal poster 'Bersama Cegah Penyakit Covid - 19' oleh kakitangan kesihatan sempena operasi bersepadu di Kg Bahagia, Batu Sapi.
KESEDARAN:  Mohd Azhar (kanan) bersama Timbalan Presiden MPS, Farizah Giau (kiri) melihat sendiri  penampal poster 'Bersama Cegah Penyakit Covid - 19' oleh kakitangan kesihatan sempena operasi bersepadu di Kg Bahagia, Batu Sapi.

SANDAKAN: Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Sandakan menjalankan operasi secara bersepadu dalam menangani penularan pandemik Covid - 19 di Parlimen Batu Sapi yang  diwartakan kawasan darurat.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Sandakan, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Azhar Hamin berkata lebih 100 orang pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi kerajaan terlibat dalam Program Inisiatif Bersepadu Mengekang Penularan Wabak Covid - 19 di Kampung Bahagia.

“Antara agensi terlibat termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sandakan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Jabatan Penerangan dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP),” katanya.

Beliau yang juga ketua Polis Daerah Sandakan berkata operasi bermula pada kira-kira jam 7.30 pagi itu, menumpukan proses disinfeksi atau nyah kuman di masjid, balairaya dan kawasan tumpuan penduduk.

“Selain itu, kempen kesedaran dan pematuhan Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) kepada penduduk setempat, pasukan juga turut mengadakan Saringan Covid - 19 kepada penduduk Kampung Bahagia,” katanya.

Mohd Azhar berkata langkah agresif ini diambil bagi mengekang pandemik Covid - 19 di daerah Sandakan terutamanya di Parlimen Batu Sapi.

Beliau memberitahu operasi tersebut bukan bertujuan untuk membanteras Pendatang Tanpa Izin (PTI) tetapi satu operasi menangani penularan Covid - 19 dari semasa ke semasa.

"Operasi yang kita laksanakan ini bergantung mana-mana kawasan yang ada peningkatan sedikit kes Covid - 19 dan tumpuan sekarang adalah di Batu Sapi berikutan pengisytiharan darurat.

"Diharapkan program sebegini dapat memberikan kesedaran kepada penduduk setempat untuk sama-sama memutuskan rantaian wabak Covid - 19 ini," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Azhar mendapati ramai penduduk Kg. Bahagia yang memberikan kerjasama padu termasuk menghadiri saringan Covid - 19 yang dijalankan bagi memastikan mereka bebas dari wabak itu.

Dalam pada itu, kata beliau pihaknya juga mengadakan sekatan jalanraya di luar perkampungan berkenaan untuk memastikan penduduk yang belum membuat saringan kesihatan agar dapat berbuat demikian selama berlangsungnya saringan tersebut.

  • oleh
  • Advertisement