Anda di sini

Lokasi salah jadikan projek awam terbiar

Advertisement
 Ling menunjukkan lantai terminal yang retak dan kerosakan lain ketika lawatan di terminal bas Tudan.
ROSAK: Ling menunjukkan lantai terminal yang retak dan kerosakan lain ketika lawatan di terminal bas Tudan.

MIRI: Pemilihan lokasi yang salah antara faktor projek awam menjadi gagal dan terbiar usang sehingga mendapat gelaran projek gajah putih.

Ahli Dewan Negara Senator Alan Ling berkata, masalah berterusan menyebabkan pembaziran wang rakyat yang besar kerana projek yang dibangunkan tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

“Tanpa kajian teliti terhadap kesesuaian tapak dan lokaliti mengakibatkan kemunculan projek gajah putih yang terbiar tanpa rancangan pemulihan. Ini adalah pembaziran dan pemborosan kepada wang rakyat dan sumber tanah,” jelas Ling.

Beliau menjelaskan perkara itu selepas mengadakan lawatan di terminal bas Tudan yang dikenal pasti antara projek gajah putih di sini.

Kerana kosong, ia sebaliknya menjadi tempat penyimpanan bas-bas rosak di sini.

Ling mendapati sebanyak lima bas rosak ditinggalkan di terminal bas itu.

Ling memberitahu, lokasi terminal yang tidak sesuai serta jauh dari pusat perniagaan juga penyebab projek tidak mendapat sambutan daripada syarikat bas.

Projek yang dijangka menjadi pusat pengangkutan bas utama di bahagian utara Miri itu sebaliknya menjadi projek gajah putih sejak lebih 15 tahun.

Ia dirancang menjadi pusat persinggahan bas dari negara Brunei Darussalam dan negeri Sabah melalui laluan Kuala Baram dan Tudan sebelum menuju ke pusat bandar raya.

Ling yang juga Setiausaha Pakatan Harapan (PH) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak turut dimaklumkan terminal itu telah disewakan kepada syarikat swasta untuk dijadikan pusat perniagaan.

Beliau diberitahu, kedai menjual kenderaan terpakai dan restoran akan beroperasi di terminal itu kelak.

Menurutnya, penjelasan tentang terma dan syarat penyerahan projek harus telus termasuk cara tender ditawarkan dan jumlah sewa yang dikenakan.

Beliau menambah, ketelusan dan akauntabiliti dari pihak kerajaan penting dalam hal berhubung tender terbuka dan untuk pengetahuan umum.

Advertisement