Anda di sini

Kurang 15 MP berdiri, Baru dakwa keliru arahan semasa proses kelulusan Belanjawan 2021

Advertisement
 

KUCHING: Kekeliruan di kalangan Ahli Parlimen pembangkang menyebabkan Belanjawan 2021 diluluskan di peringkat dasar di Dewan Rakyat, kata Ahli Parlimen Selangau Baru Bian (gambar).

Baru berkata, kekeliruan itu akibat arahan pada saat-saat akhir whip pembangkang untuk tidak menyokong cadangan undian belah bahagi.

"Terdapat kekeliruan di kalangan pembangkang pada masa itu, kerana arahan pada saat akhir dari whip pembangkang. Sebab itu saya percaya kurang daripada 15 Ahli Parlimen berdiri.

"Ahli Parlimen PKR dan DAP melihat pemimpin mereka sama ada mahu berdiri atau tidak. Saya melihat ada yang berdiri dan kemudian duduk semula kerana pemimpin mereka tidak berdiri untuk memilih undi belah bahagi," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Baru berkata, undian belah bahagi memerlukan Ahli Parlimen mengundi setiap seorang untuk direkodkan oleh pemimpin yang dilantik setiap blok.

Hasilnya kata beliau akan diserahkan kepada Speaker untuk membuat keputusan.

"Pembangkang sepatutnya menyokong undi belah bahagi untuk menolak Belanjawan ini yang tidak komprehensif dan menolak kerajaan sedia ada yang bukan mendapat mandat daripada rakyat," katanya.

Baru yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Sarawak Bersatu (PSB) berkata, malahan banyak kebimbangan yang disuarakan pembangkang tidak diambil kira dalam ucapan belanjawan berkenaan.

Bagaimanapun kata beliau isu utama adalam perkara itu bukan sama ada berjaya atau tidak menolak belanjawan berkenaan.

"Sebaliknya prinsip pengundian itu sendiri. Saya yakin pembangkang perlu mengundi untuk menolak belanjawan," katanya.

Sidang Dewan Rakyat, semalam meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 (Peringkat Dasar) melalui undian suara.

RUU Perbekalan 2020 dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang kemudiannya disokong semua ahli Parlimen kerajaan.
 

  • oleh
  • Advertisement