Anda di sini

Kematian Maradona, kehilangan buat dunia bola sepak

Advertisement
JOSEPH
JOSEPH

KUCHING: Pemergian legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona merupakan satu kehilangan besar buat warga bola sepak dunia.

Pemain sensasi Kuching FA, Joseph Kalang Tie, 33, berkata Maradona merupakan antara pemain dunia yang diminati dan inspirasi kepadanya.

"Pemergian seorang legenda bola sepak dunia merupakan kehilangan yang amat besar untuk kita (warga bola sepak).

"Maradona adalah inspirasi untuk semua pemain bola," katanya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.

Jelasnya, Maradona merupakan seorang pemain bola sepak yang berbakat meskipun mempunyai bentuk fizikal yang kecil.

"Dari segi bakat dan saiznya, beliau membuktikan saiz bukan ukuran (untuk berjaya) dalam bola sepak," tambahnya.

Joseph memberitahu, untuk berjaya kekuatan mental adalah peranan utama dalam bola sepak.

Katanya, ini yang dimiliki legenda bola sepak itu sehingga mencapai kejayaan yang dibanggakan dalam dunia bola sepak dunia.

Sementara itu, Penolong Jurulatih Kuching FA Mohamad Sharizan Sahari berkata, pemergian legenda bola sepak dunia tersebut semestinya satu kehilangan yang besar dalam dunia bola sepak.

"Beliau adalah ikon bola sepak, siapa yang tidak kenal DM (Diego Maradona) yang bukan peminat bola sepak pun mengenali beliau.

"Sentiasa menjadi tumpuan, semasa beliau masih bermain dan di luar padang sehingga beliau bersara, beliau tetap menjadi tumpuan umum.

"Pemergian beliau akan dirindui peminat bola sepak dunia khususnya di Argentina," ujarnya.

Terdahulu, Maradona, 60, dilaporkan meninggal dunia pada Rabu selepas mengalami serangan jantung di Buenos Aires, kata peguamnya.

Advertisement