Anda di sini

JKKK perlu bendung gejala dadah dalam masyarakat

Advertisement
 Yussibnosh (dua kiri) menyerahkan sijil kepada salah seorang Pengerusi JKKK.
TERIMALAH: Yussibnosh (dua kiri) menyerahkan sijil kepada salah seorang Pengerusi JKKK.

MUKAH: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu bendung aktiviti penyalahgunaan serta pengedaran dadah di kawasan masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Yussibnosh Balo berkata, merwka perlu memantau kegiatan anak buah mereka sekiranya terlibat dalam kancah dadah.

“Jika perkara libatkan dadah kita tidak boleh bersikap sambil lewa dan main-main, perlukan tindakan yang pantas sebelum menjadi lebih parah,” katanya ketika Majlis Penangguhan Bengkel Pemerkasaan Kepolisan Komuniti Daerah Mukah di Bangunan Pusat Pentadbiran Baharu Mukah.

Ini boleh dilakukan katanya, melalui kerjasama dengan pihak yang bertanggungjawab ke atas perkara berkenaan dan juga melaporkannya.

Kawasan Mukah katanya, antara yang sedang membangun dan tidak terlepas daripada masalah dadah.

“Kita tidak mahu masa depan generasi kita nanti kelam hanya kerana dadah,” ujarnya lagi.

Mengenai peranan JKKK secara keseluruhannya, Yussibnosh mengatakan mereka terbukti amat penting dan diperlukan ketika pandemik COVID-19 lalu.

Antaranya adalah penggerak utama dalam setiap pengagihan bantuan kepada penduduk kawasan masing-masing.

Sementara itu, Residen Mukah Hamdiah Bakir turut memberitahu bahawa institusi JKKK agar sentiasa diperkukuhkan.

“JKKK adalah penghubung utama antara penduduk dan juga kerajaan negeri,” katanya.

Tanggungjawab dipikul JKKK katanya, juga boleh dikatakan salah satu bentuk sumbangan balik kepada masyarakat.

Seramai 160 JKKK di Daerah Mukah hadir dalam bengkel sehari itu.

Majlis sama turut menyaksikan penyerahan sijil lantikan JKKK baharu.

Turut hadir Pemangku Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip.

Advertisement