Anda di sini

Bersemadilah legenda

Advertisement
 Gambar yang diambil pada tahun 2017 semasa Maradona menghadiri upacara Anugerah FIFA di Zurich. — Gambar AFP
BERSEMADI: Gambar yang diambil pada tahun 2017 semasa Maradona menghadiri upacara Anugerah FIFA di Zurich. — Gambar AFP

BUENOS AIRES: Diego Maradona, salah seorang bintang bola sepak terhebat sepanjang zaman, meninggal dunia pada Rabu ketika berusia 60 tahun, menyebabkan dunia sukan dan negara kelahirannya, Argentina berkabung.

Dikenali bersama-sama Pele sebagai salah seorang bintang bola sepak terhebat di dunia, bekas kapten Argentina yang menjulang trofi Piala Dunia itu menjalani pembedahan otak bulan ini dan meninggal dunia kerana serangan jantung, menurut salah seorang perwakilan beliau ketika memberitahu agensi berita AFP.

Maradona akan selamanya diingati kerana gol ‘Tangan Tuhan’ ketika menentang England pada perlawanan suku akhir Piala Dunia 1986 di Kota Mexico, apabila menolak bola dengan tangannya ke pintu gol untuk memastikan kemaraan Argentina ke separuh akhir.

Tidak lama selepas itu, beliau melepasi beberapa pemain England untuk menjaringkan gol kedua, melengkapkan satu kemenangan yang dengan sempurna menggambarkan kemahiran hebat dalam padang dan tingkah laku yang kadang-kadang liar di luar padang sepanjang kehidupannya.

Beliau bergelut dengan ketagihan dadah jenis kokain dan juga arak dan mengalami masalah kesihatan sejak beberapa tahun yang lalu.

Pele menggambarkan Maradona sebagai ‘rakan baik’ dan bintang legenda Brazil berusia 80 tahun itu berkata beliau berharap mereka akan ‘bermain bersama angkasa’ (selepas meninggal dunia) suatu hari nanti.

Perlawanan semasa Argentina memenangi Piala Dunia 1986. — Gambar AFP
Perlawanan semasa Argentina memenangi Piala Dunia 1986. — Gambar AFP

Gary Lineker, yang bermain bersama England ketika tewas pada 1986, berkata Maradona tanpa ragu adalah ‘yang terhebat sepanjang zaman’ tetapi merujuk kepada gol terkenal beliau dengan membuat ciapan di Twitter: “Selepas kehidupan hebat tetapi bermasalah, saya berharap beliau akan akhirnya menemui ketenangan di tangan Tuhan. #RipDiego.”

Bintang semasa Argentina, Lionel Messi, mengetuai penghormatan kepada Maradona dengan berkata: “Beliau meninggalkan kami tetapi beliau tidak pernah meninggalkan kami kerana Diego adalah abadi.”

Presiden Argentina, Alberto Fernandez, mengumumkan tiga hari perkabungan seluruh negara.

Media Argentina pertama kali melaporkan pada Rabu bahawa Maradona mengalami masalah serius dalam usaha untuk pilih dari pembedahan pada awal bulan ini selepas darah beku dikeluarkan di antara otak dan tengkoraknya.

Ahli keluarga beliau dipanggil ke kediaman beliau di utara Buenos Aires sebelum pengumuman kematian beliau dibuat secara rasmi.

Gambar yang diambil pada 4 Julai 1984. — Gambar AFP
Gambar yang diambil pada 4 Julai 1984. — Gambar AFP

Saat paling manis ialah apabila beliau menjadi kapten Argentina ketika menjulang Piala Dunia 1986 dan mempamerkan aksi yang luar biasa sepanjang kejohanan.

Di final, beliau mengumpan bola untuk gol kemenangan minit ke-86 ketika menentang  Jerman Barat. Beliau menjaringkan dua gol di separuh akhir menentang Belgium, termasuk melepasi empat pemain sebelum menjaringkan gol kedua.

Tetapi perlawanan yang menentukan kehebatan dan kemungkinan kerjaya beliau ialah kemenangan ke atas England, di mana beliau menjaringkan dua gol yang akan diingati selama-lamanya – untuk dua sebab berbeza.

Pada minit ke-51, ketika penjaga gol England, Peter Shilton mahu menangkap bola, Maradona melompat bersebelahan dan menggunakan helah menolak bola dengan tangan yang melepasi tangan Shilton untuk menjaringkan gol. Pengadil membenarkan gol itu kerana dari jarak jauh, ia kelihatan seperti beliau menanduk bola.

Selepas perlawanan, Maradona berkata beliau menjaringkan gol “sedikit dengan kepala dan sedikit dengan tangan Tuhan.”

Gol yang  beliau jaringkan empat minit kemudian, apabila mendapatkan bola dari kawasan pasukannya dan  mengelecek enam pemain England, dipilih sebagai ‘Gol Terbaik Abad Ini’ oleh badan induk bola sepak dunia (FIFA).

Maradona membesar dalam kemiskinan di Buenos Aires tetapi bakat luar biasa beliau jelas kelihatan dari usia muda di kelab Argentinos Juniors dan Boca.

Beliau berpindah ke Barcelona tetapi disisihkan kerana diasak teruk oleh pertahanan lawan dan tidak lama kemudian beliau hilang perhatian di kelab.

Beliau dihormati dengan tafakur seminit sebelum semua perlawanan Liga Juara-Juara pada Rabu.

Pada 2000, FIFA mengadakan tinjauan atas talian untuk Pemain Terbaik Abad ini dan beliau memperolehi 54 peratus undi di tempat pertama dengan Pele di tangga kedua dengan 18 peratus undi. FIFA bagaimanapun mengumumkan mereka sebagai juara bersama anugerah itu.

Maradona berkahwin dengan teman wanitanya sejak sekian lama, Claudia Villafane pada 1984. Mereka dianugerahkan dua anak perempuan, Dalma dan Gianinna tetapi perhubungan terjejas dengan hubungan sulit Maradona dan mereka bercerai pada 2004.

Beliau juga mempunyai seorang anak lelaki, Diego Junior, lahir pada 1986, walaupun beliau hanya mengetahui kewujudan anak lelakinya itu pada 2004. — AFP

Advertisement