Anda di sini

326 kes positif baharu COVID-19

Advertisement
 Perkembangan Harian COVID-19 Negeri Sabah.
CARTA: Perkembangan Harian COVID-19 Negeri Sabah.

... Pesakit sembuh seramai 2,126 orang dua kluster baharu di Tawau

KOTA KINABALU: Kes positif baharu COVID-19 di Sabah pada 26 November mencatatkan sebanyak 326 kes dan dua kluster baharu di Tawau dilaporkan.

Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan juga merangkap Menteri Kewangan II Datuk Seri Masidi Manjun berkata daripada 326 kes positif COVID-19 berkenaan, sebanyak 104 kes (31.90%) adalah dari saringan kontak rapat yang melibatkan daerah Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu, Kota Belud dan Semporna manakala selebihnya iaitu 222 kes adalah dari lain-lain kategori.

Dua kluster baharu di Tawau katanya ialah Kluster Blok 31 sebanyak lapan kes berkaitan dengan majlis makan malam di Blok 31 dan Kluster Bot Biru sebanyak enam kes berkaitan dengan Kuarters Polis Marin.

Beliau melalui satu kenyataan Laporan Harian Kes Jangkitan COVID-19 juga melaporkan tiga kes kematian dicatatkan iaitu masing-masing satu kes di daerah Sandakan, Kota Kinabalu dan Tawau. 

MASIDI
MASIDI

Sementara itu, jumlah kumulatif kes COVID-19 di negeri ini adalah sebanyak 27,238 kes.

"Pada hari ini (26 November), seramai 2,126 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 23,781 orang. 

"Sejumlah 2,085 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 643 orang di hospital dan 1,442 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC). Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 68 orang dan 23 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

"Jumlah kapasiti katil di Hospital COVID-19 adalah sebanyak 1,007 katil. 

Sementara, di PKRC adalah 5,577 katil menjadikan jumlah keseluruhan 6,584 katil. Peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 31.67%," katanya.

Menurut Masidi juga, sebanyak 71 Sekatan Jalan Raya (SJR) telah dilaksana melibatkan pemeriksaan 51,186 kenderaan di mana 139 buah kenderaan diarah berpatah balik. 

"Tiada tangkapan dilakukan namun 21 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar SOP (prosedur operasi standard) COVID-19. PDRM (Polis Diraja Malaysia) juga telah melaksanakan 65 hebahan melalui kereta peronda.

"Penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin yang melibatkan 15 pemeriksaan di kawasan Pantai Timur dan 32 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan.

"Hebahan umum Info On Wheels Jabatan Penerangan Sabah mengenai pematuhan SOP, amalkan 3W, elakkan 3C dan pembudayaan norma baharu telah dilaksanakan di 75 lokasi di 15 daerah. 

"Hebahan dibuat dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Bajau, Bahasa Mandarin dan Bahasa Dusun," katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa pematuhan penduduk terhadap SOP PKPB ialah 97.88% dengan tiga daerah mencatatkan pematuhan Tertinggi iaitu Kinabatangan (99%), Sipitang (99%) dan Kota Belud (99%), manakala pematuhan terendah adalah daerah Ranau (96%).

Selain itu, beliau berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah telah melaksanakan sanitasi di lapan premis di enam buah daerah iaitu Kota Belud, Keningau, Tawau, Semporna, Kota Kinabalu dan Kinabatangan.

Mengenai bakul makanan, Masidi berkata sebanyak 235,368 bakul makanan telah diagihkan kepada golongan sasar.

"Kerjasama padu daripada semua pihak amat penting dalam usaha untuk memutuskan rantaian COVID-19 dengan mematuhi SOP yang sedang berkuat kuasa dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.

"Masyarakat dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan dengan kadar segera sekiranya mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif COVID-19," tambahnya.

Advertisement