Anda di sini

20 anggota PVR terjejas COVID-19 terima sumbangan

Advertisement
 Habibi (empat kiri) bersama pihak KPS menyampaikan bantuan kepada anggota PVR IPD Kota Kinabalu.
SUMBANGAN: Habibi (empat kiri) bersama pihak KPS menyampaikan bantuan kepada anggota PVR IPD Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Seramai 20 anggota Polis Sukarelawan Simpanan (PVR) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang kehilangan mata pencarian akibat pandemik COVID-19 menerima bantuan daripada Skuad Komuniti Prihatin Sabah (KPS).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sumbangan berkenaan adalah hasil kerjasama IPD Kota Kinabalu dengan pihak KPS melibatkan bantuan barangan makanan dan juga pelitup muka.

Katanya, IPD Kota Kinabalu mempunyai seramai 342 anggota PVR dan seramai 221 daripadanya adalah anggota PVR yang aktif.

"Hasil kajian yang dijalankan, kita dapati seramai 20 anggota PVR IPD Kota Kinabalu terjejas mata pencarian berikutan penularan wabak COVID-19.

"Sehubungan itu, bantuan yang disumbangkan ini diharap dapat meringankan bebanan keluarga anggota PVR yang terjejas," katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan berkenaan di sini semalam.

Dalam pada itu jelasnya, seramai 14 anggota PVR IPD Kota Kinabalu yang terlibat dengan penugasan sekatan jalan raya (SJR) terkesan dengan jangkitan COVID-19.

Beliau berkata, dua daripada 14 anggota berkenaan didapati positif namun berada dalam keadaan stabil di hospital manakala 12 anggota yang lain menjalani kuarantin di rumah.

Pihaknya mengambil tindakan pantas bagi memutuskan jangkitan COVID-19 terutama yang melibatkan penugasan anggota PVR dan polis IPD Kota Kinabalu di SJR.

Habibi berkata, anggota PVR membantu penugasan polis dalam SJR selain menjaga keselamatan di pusat kuarantin yang menempatkan pesakit COVID-19.

  • oleh
  • Advertisement