Anda di sini

Sarawak diyakini mampu wujud telco untuk Internet luar bandar

Advertisement
 Dr Abdul Rahman menerima cenderamata daripada Salina. Turut kelihatan, Denney (dua kanan).
TERIMA KASIH: Dr Abdul Rahman menerima cenderamata daripada Salina. Turut kelihatan, Denney (dua kanan).

LIMBANG: Usaha Sarawak untuk mewujudkan syarikat telekomunikasi (telco) sendiri dalam tempoh dua tahun diyakini mampu meningkatkan capaian Internet khususnya di pedalaman dan luar bandar termasuk di Limbang.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, penubuhan telco kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah keengganan kalangan syarikat telco sedia ada untuk memperluaskan perkhidmatan Internet mereka ke kawasan luar bandar Sarawak.

“Kita menyokong dan berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam meluaskan lagi capaian Internet khusus di luar bandar dengan menubuhkan telco kerajaan negeri sendiri,” katanya ketika merasmikan Pusat Komuniti Digital Pustaka anjuran Pustaka Negeri Sarawak di Perpustakaan Desa Kampung Meritam Limbang, baru-baru ini.

Turut sama Residen Bahagian Limbang Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengurus Wilayah mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak Salina Zawawi, Penolong Pegawai Daerah Limbang Hamidah Halpi dan Ketua Kampung Meritam Mahmud Gampal.

ADUN Bukit Kota itu berkata lagi, kerajaan negeri menyedari kemudahan telekomunikasi amat penting dengan menumpukan kepada ekonomi digital serta memperbanyakkan prasarana dan menara telekomunikasi di Sarawak.

“Sasaran kita bukan sahaja memahirkan pegawai kerajaan dalam ekonomi digital tetapi memberi manfaat ke seluruh penduduk di luar bandar di Sarawak di bawah pendekatan sama,” katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri juga perlu memperbanyakkan pendekatan untuk mendapatkan liputan Internet bukan saja melalui menara telekomunikasi tetapi juga penggunaan satelit.

Jelasnya, selain kemudahan asas seperti jalan raya,elektrik dan air, Sarawak turut menyasarkan untuk meliputi semua kawasan di negeri ini dengan kemudahan telekomunikasi  menjelang 2025.

Sementara itu katanya, dua perpustakaan desa di Limbang iaitu Kampung Meritam dan Kampung Pahlawan dinaik taraf menjadi Pusat Komuniti Digital Pusaka yang dikendalikan Pustaka Negeri Sarawak bersama-sama Sarawak Multimedia Authority (SMA).

“Bagi tujuan itu Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM5 juta bagi mewujudkan Pusat Komuniti Digital seluruh negeri Sarawak,” katanya lagi.

Pada majlis itu, beliau telah mengumumkan peruntukan RM20,000 untuk Perpustakaan Desa Kampung Meritam bagi tujuan mengecat bangunan dan memperbesar kawasan parkir kereta.

  • oleh
  • Advertisement