Anda di sini

PSB sasar 1,000 WiFi, bantu penduduk luar bandar nikmati Internet

Advertisement
 Penduduk di kawasan Baleh menunjukkan isyarat bagus setelah mendapat liputan Internet menerusi inisiatif PSB.
Penduduk di kawasan Baleh menunjukkan isyarat bagus setelah mendapat liputan Internet menerusi inisiatif PSB.

SIBU: Parti Sarawak Bersatu (PSB) menyasarkan untuk memasang kemudahan sambungan satelit jalur lebar WiFi di 1,000 lokasi di kawasan luar bandar, terutama sekolah luar bandar sebagai keutamaan dalam inisiatif untuk menyediakan liputan Internet.

Presidennya, Dato Sri Wong Soon Koh berkata, mereka telah memasang lapan sistem jalur lebar untuk komunikasi dan Internet menggunakan satelit di kawasan Baleh.

Sekolah luar bandar tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Meluan, SK Sungai Paku, SK Lubok Mawang, SK Temenggong Koh, SK Lepong Gaat, SK Sungai Kain dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baleh.

"Dalam beberapa minggu akan datang, lebih banyak lagi akan mendapat manfaat dari inisiatif ini kerana PSB komited sepenuhnya untuk menghubungkan lebih banyak sekolah dan kawasan luar bandar di bawah inisiatif ini untuk memberi keperluan Internet dan komunikasi terutama pada masa-masa sukar ini," jelasnya pada sidang media di sini, hari ini.

 Wong (tengah) pada sidang media di Sibu, hari ini.
Wong (tengah) pada sidang media di Sibu, hari ini.

Semasa menghadiri satu program anjuran PSB di Baleh pada awal September lepas, Wong memberitahu, beliau berkesempatan bertemu dengan pemimpin tempatan dan guru besar beberapa sekolah di daerah itu.

"Saya sangat sedih ketika mendengar keluhan keadaan dan cabaran yang dihadapi penduduk tempatan dalam kehidupan seharian mereka dan satu keperluan asas utama yang ternyata sangat diperlukan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dan kekurangan di kawasan ini adalah jaringan Internet," ujarnya.

Baru-baru ini juga, beliau memberitahu laporan secara meluas berkenaan seorang guru Sambau Dugat yang mengambil inisiatif memimpin sekumpulan pelajar sekolah rendah dan menengah dari kampungnya di Nanga Sumpa dan Nanga Jambu berdekatan Lubok Antu untuk meredah hutan demi mendapatkan liputan Internet yang baik.

"Ini sebenarnya merupakan masalah utama di semua kawasan luar bandar dan pedalaman di Sarawak iaitu tiada kemudahan atau liputan Internet. Bagaimana ini terjadi di salah satu negeri terkaya di Malaysia yang dikurniakan begitu banyak kekayaan dan sumber alam," soalnya.

Jadi setelah kembali, Wong berkata beliau bersama Majlis Presiden PSB dan mereka memutuskan untuk membantu memasang sambungan satelit jalur lebar WiFi di kawasan luar bandar di seluruh negeri dengan keutamaan diberikan kepada sekolah dan pelaksanaan dilakukan dengan segera.

Beliau menegaskan, PSB komited untuk menyediakan komunikasi dan perkhidmatan Internet yang berpatutan kerana mereka menganggapnya sebagai keperluan selain air, elektrik dan jalan raya kepada penduduk luar bandar.

 "Menyediakan sambungan satelit jalur lebar WiFi ke kawasan luar bandar adalah salah satu langkah pertama kami, di antara banyak inisiatif lain, ke arah meningkatkan kualiti hidup masyarakat," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan itu berkata, PSB akan berusaha untuk menyediakan pendidikan yang lebih baik, mewujudkan pekerjaan yang lebih stabil dengan peningkatan pendapatan, penjagaan kesihatan yang lebih baik dan perumahan dan bekalan keperluan asas yang mencukupi seperti air dan elektrik dan persekitaran tempat tinggal yang lebih kondusif.

"Ringkasnya untuk memenuhi hasrat rakyat untuk kehidupan yang lebih baik adalah misi politik utama kami. Tidak ada yang harus ditinggalkan," ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement