Anda di sini

Polis bongkar makmal proses dadah, tahan 8 lelaki bersama dadah RM177,210

Advertisement
 Sahabudin (tiga, kiri) dan pegawainya menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas daripada sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah semasa mengadakan sidang akhbar mengenai kejayaan menumpaskan sindiket tersebut dengan nilai rampasan RM177,210. — Gambar Bernama
BAHAN BUKTI: Sahabudin (tiga, kiri) dan pegawainya menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas daripada sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah semasa mengadakan sidang akhbar mengenai kejayaan menumpaskan sindiket tersebut dengan nilai rampasan RM177,210. — Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Polis berjaya membongkar makmal memproses dadah selepas menahan lapan lelaki serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM177,210 dalam beberapa siri serbuan di sekitar Pulau Pinang dan Perak pada Ahad dan Isnin lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Pulau Pinang dan Perak melancarkan operasi khas bermula jam 5 petang Ahad hingga 3 petang keesokannya serta menyerbu 10 lokasi di dua negeri itu sebelum menahan semua suspek berusia antara 20 hingga 49 tahun.

“Dalam serbuan pertama, polis menahan dua lelaki di hadapan sebuah kondominium di Batu Uban, sebelum membuat pemeriksaan di rumah sewa mereka dan berjaya membongkar makmal memproses dadah sindiket tersebut. Ujian air kencing mendapati dua suspek tersebut positif dadah.

“Dalam serbuan itu polis turut merampas pelbagai jenis dadah antaranya heroin, heroin base, serbuk kafein serta bahan dan peralatan memproses dadah sebelum polis kemudian menyerbu di kawasan Gelugor dan menjumpai heroin di dalam sebuah kereta,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau berkata, polis kemudiannya menyerbu tujuh lagi tempat di Bukit Gantang dan Ipoh, Perak serta Air Itam dan Simpang Ampat, di negeri ini sebelum menahan enam lelaki serta merampas pelbagai jenis dadah bersama mereka.

Sahabudin berkata berdasarkan siasatan, dalang utama sindiket itu berusia 38 tahun yang ditahan di Simpang Ampat, mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian sindiket dadah antarabangsa sebelum memproses di kondominium tersebut.

“Mereka menjadikan kondominium itu sebagai makmal proses dadah sebelum mengedarkan kepada ahli sindiket untuk pasaran di Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Polis menjalankan intipan dan risikan terhadap sindiket ini sejak September lepas,” katanya.

Menerusi siri tangkapan dan serbuan itu, polis me-rampas 10.17 kilogram (kg) heroin, 10.37 kg kafein, 0.375 kg heroin base, 0.143 kg syabu, 620 biji pil ekstasi dan 20 biji pil eramin 5 yang kesemuanya bernilai RM177,210 dan dipercayai boleh digunakan kira-kira 44,255 penagih dadah.

Beliau berkata, polis turut menyita tujuh kenderaan bernilai RM369,000, wang tunai RM14,800 serta pelbagai barang kemas bernilai RM25,530 daripada lapan lelaki termasuk seorang pemandu lori.

“Kesemua suspek yang mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah, kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. — Bernama

Advertisement