Anda di sini

Penyelia Carrefour di Brazil ditangkap

Advertisement
 Penunjuk perasaan menceroboh pasar raya Carrefour di Sao Paulo, Brazil pada Jumaat lepas untuk membantah tindakan pengawal keselamatan memukul sehingga mati seorang lelaki kulit hitam. — Gambar AFP
SUARA MARAH: Penunjuk perasaan menceroboh pasar raya Carrefour di Sao Paulo, Brazil pada Jumaat lepas untuk membantah tindakan pengawal keselamatan memukul sehingga mati seorang lelaki kulit hitam. — Gambar AFP

BRASILIA: Polis Brazil kelmarin menangkap penyelia pasar raya Carrefour di Porto Alegre dan menuduh dia bersekongkol dengan beberapa pengawal ke-selamatan yang memukul seorang lelaki kulit hitam sehingga mati.

Penyelia Adriana Alves Dutra mempunyai kuasa untuk menghalang pengawal keselamatan dari memukul Joao Alberto Silveira Freitas berusia 40 tahun pada 13 November, kata penyiasat homisid Vanessa Pitrez.

“Dia mempunyai kuasa ke atas dua pengawal kese-lamatan itu,” dan disebabkan itu “undang-undang telah melihat dia sebagai seorang rakan subahat homisid,” kata Pitrez pada sidang media, seperti yang dipetik oleh laman berita UOL.

Pitrez telah meminta agar wanita itu dipenjarakan buat sementara waktu.

Alves Dutra muncul dalam satu rakaman video yang tular kelihatan berdiri berhampiran semasa Silveira Freitas ditumbuk di muka dan kepala di kawasan letak kereta pasar raya itu oleh seorang pengawal keselamatan sementara pengawal kedua menahannya.

Menurut siasatan awal Silveira Freitas telah dipukul selama lebih lima minit sebelum dihalang dari bergerak oleh penyerangnya dan meninggal dunia akibat masalah tidak dapat bernafas.

Kedua-dua pengawal kese-lamatan itu sudah diberkas.

Alves Dutra, yang turut dilihat merekodkan insiden, ternyata berbohong kepada polis dalam keterangan awalnya, menyatakan dia tidak mendengar rayuan Silveira Freitas yang meminta tolong.

Alves Dutra turut men-dakwa salah seorang pengawal keselamatan merupakan seorang pelanggan pasar raya, menyembunyikan kenyataan bahawa dia merupakan seorang pekerja Carrefour.

Menurut Globo TV, yang memetik keterangan awal penyelia tersebut kepada polis mengenai insiden itu, Alves Dutra mendakwa bahawa dia telah beberapa kali meminta pengawal kese-lamatan tersebut melepaskan lelaki kulit hitam itu.

Bagaimanapun beberapa bahagian dalam video me-nunjukkan dia sebaliknya memberikan amaran kepada Silveira Freitas agar bertenang jika mahu dilepaskan, namun turut memberitahu bahawa mangsa tidak akan dibebaskan sehingga polis sampai.

Ketua polis Roberta Bertoldo berkata Alves Dutra telah memberikan “ketera-ngan yang bercanggah”.

Ia akan terpulang kepada siasatan untuk melihat “sekiranya percanggahan ini adalah bermotifkan sesuatu yang dia ingin selindungi atau tidak.”

Video kejadian pukulan itu segera tular dalam tali-an dan mencetuskan tunjuk perasaan pada Jumaat ketika negara menyambut Black Consciousness Day. Lebih banyak protes telah dilakukan di sekitar negara sepanjang hujung minggu lepas.

Pada Isnin, polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan peluru getah untuk meleraikan sekumpulan penunjuk perasaan yang menghalang sebatang jalan dan menghentikan trafik di depan sebuah cawangan Carrefour di Porto Alegre, terletak di selatan Brazil.

Rangkaian pasar raya Carrefour telah berdepan gelombang seruan untuk pemboikotan dan kadang-kala bantahan ganas di luar beberapa premisnya di sekitar Brazil, menarik perbandingan dengan pembunuhan George Floyd di Amerika Syarikat pada Mei dan bantahan yang berlaku kemudian.

Pada Isnin lepas saham bagi unit Brazil untuk kumpulan Perancis itu telah merosot enam peratus dalam dagangan tengah hari di bursa saham Sao Paulo, serta di Paris saham Carrefour ditutup jatuh sebanyak 2.2 peratus.

Rantaian pasar raya itu berjanji akan menyumbangkan kira-kira AS$5 juta untuk menentang rasisme. — AFP

Advertisement