Anda di sini

Kes COVID-19 baharu 293 kes, sembuh seramai 1,934 orang

Advertisement
 Perkembangan Harian COVID-19 Negeri Sabah.
TERKINI: Perkembangan Harian COVID-19 Negeri Sabah.

KOTA KINABALU: Jumlah kes positif baharu COVID-19 di Sabah adalah sebanyak 293 kes dan satu kluster baharu di Daerah Lahad Datu iaitu Kluster D’Bajaru.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan juga merangkap Menteri Kewangan II Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu kenyataan Laporan Harian Kes COVID-19 bertarikh 25 November 2020 berkata Kluster D'Bajaru mencatatkan sebanyak 56 kes hasil saringan komuniti di Kampung Dasar Baru dan Kampung Desa Bajau.

Beliau juga berkata seramai 1,934 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital dan dua kes kematian dicatatkan di mana kedua-dua kes berkenaan di daerah Sandakan.

MASIDI
MASIDI

Katanya, setakat 25 November, jumlah kumulatif kes COVID-19 dan pesakit sembuh masing-masing adalah sebanyak 26,912 kes dan 21,655 orang.

Menurutnya lagi, sejumlah 2,064 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 635 orang di hospital dan 1,429 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC). 

Manakala, bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 65 orang dan 18 orang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated), tambahnya.

Mengenai jumlah kapasiti katil, beliau menjelaskan Hospital COVID-19 mempunyai sebanyak 1,007 katil sementara di PKRC adalah 5,577 katil menjadikan jumlah keseluruhan 6,584 katil dan peratus penggunaan katil adalah pada 31.35 peratus.

Dalam pada itu, Masidi memaklumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Pengaraban, Kampung Tanjung Kapor dan Kampung Landung Ayang, Kudat ditamatkan pada 26 November 2020 seperti yang dijadualkan berikutan penurunan kes positif COVID-19 di kawasan ini dan terkawal.

Walau bagaimanapun, lokaliti ini masih tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seluruh negeri Sabah yang sedang berkuatkuasa.

Manakala, Masidi berkata PKPD akan dilaksanakan di Taman Telipok Ria, Tuaran bermula 27 November 2020 sehingga 10 Disember 2020 berikutan peningkatan kes positif COVID-19 di lokaliti terbabit.

Katanya, pelaksanaan PKPD ini melibatkan keluasan kawasan 229,459  meter persegi, 3,400 unit rumah dan 18,000 orang penduduk.

Berkenaan Sekatan Jalan Raya (SJR), beliau berkata sebanyak 74 SJR telah dilaksana melibatkan pemeriksaan 48,542 kenderaan dan daripada jumlah tersebut, 140 buah kenderaan diarah berpatah balik. 

Tambahnya, tiada tangkapan dilakukan namun 19 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

"Penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin yang melibatkan 35 pemeriksaan di kawasan Pantai Timur dan 28 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan.

"Manakala, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah telah melaksanakan sanitasi di 12 premis di tujuh buah daerah iaitu Kota Belud, Beluran, Tawau, Semporna, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kinabatangan," katanya.

Hebahan juga dilaksanakan oleh PDRM, kata Masidi di mana 89 hebahan dilakukan melalui kereta peronda manakala hebahan umum Info On Wheels Jabatan Penerangan Sabah mengenai pematuhan SOP, amalkan 3W, elakkan 3C dan pembudayaan norma baharu telah dilaksanakan di 86 lokasi di 15 daerah yang dibuat dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Bajau, Bahasa Mandarin dan Bahasa Dusun.

Menurut Masidi, kadar pematuhan penduduk terhadap SOP PKPB ialah 97.88% dengan tiga daerah peratusan Tertinggi iaitu Kinabatangan (99%), Sipitang (99%) dan Kota Belud (99%) manakala daerah dengan peratusan terendah Ranau (96%) dan Semporna (95%).

Mengenai agihan bakul makanan, beliau berkata sebanyak 230,377 bakul makanan telah diagihkan kepada golongan sasar.

"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mempunyai 241 buah kenderaan yang sedia digunakan bagi tujuan bantuan logistik COVID-19. 

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 45 buah kenderaan digunakan untuk mengangkut pesakit COVID-19. Manakala 25 buah kenderaan digunakan untuk menghantar bakul makanan ke lokasi sasaran dan baki 171 kenderaan pelbagai jenis bersedia digerakkan jika perlu.

"Kerjasama padu daripada semua pihak amat penting dalam usaha untuk memutuskan rantaian COVID-19 dengan mematuhi SOP yang sedang berkuat kuasa dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.

"Masyarakat dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan dengan kadar segera sekiranya mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif COVID-19," tambahnya.

  • oleh
  • Advertisement