Anda di sini

Juve, Chelsea dan Sevilla layak ke peringkat 16 terakhir

Advertisement
 Perlawanan Kumpulan G di antara Juventus dan Ferencvaros di Stadium Juventus. — Gambar AFP
SENGIT: Perlawanan Kumpulan G di antara Juventus dan Ferencvaros di Stadium Juventus. — Gambar AFP

PARIS: Juventus, Chelsea dan Sevilla mencatatkan kemenangan pada saat akhir untuk layak ke peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara kelmarin, manakala Martin Braithwaite menjaringkan dua gol dalam kemenangan 4-0 Barcelona di Dyanmo Kiev untuk turut menempah tempat pada pusingan kalah mati.

Mereka merupakan pasukan-pasukan pertama untuk mara dari peringkat kumpulan, dengan baki dua perlawanan lagi, pada malam yang menyaksikan Erling Braut Haaland, Neymar, Cristiano Ronaldo dan Bruno Fernandes melakukan jaringan.

Lionel Messi tidak bermain untuk Barcelona, selepas pemain Argentina itu direhatkan bagi lawatan ke Ukraine, tetapi pasukan Ronald Koeman melaksanakan tugas dengan baik untuk mencatatkan empat kemenangan daripada empat perlawanan dalam Kumpulan G.

Semua gol dijaring pada separuh masa kedua, dengan Sergino Dest membuka jaringan sebelum Braithwaite, penyerang Denmark, menambah satu lagi dan kemudian menyempurnakan tendangan penalti untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Dimasukkan sebagai pemain gantian, Antoine Griezmann melengkapkan kemenangan pada malam pemain pertahanan tengah muda Oscar Mingueza, pemain tengah Brazil, Matheus Fernandes, dan pemain sayap remaja Amerika, Konrad de la Fuente, membuat penampilan sulung bersama pasukan utama.

“Kami sudah mencapai matlamat kami,” kata Koeman.

“Kami kelihatan lapar dan menjaringkan empat gol. Pemain penting dapat berehat dan para pemain muda diberi peluang bermain dengan sewajarnya.”

Juventus menyertai Barcelona untuk layak dari Kumpulan G tetapi juara Itali itu memerlukan tandukan pada masa tambahan daripada pemain gantian Alvaro Morata untuk menewaskan Ferencvaros 2-1 di Turin dan menjamin kemaraan mereka.

Chelsea mara dari Kumpulan E selepas menewaskan Rennes 2-1 di Perancis, dengan Olivier Giroud yang dimasukkan sebagai pemain gantian untuk menanduk masuk gol kemenangan dalam masa kecederaan. Sebelum itu, Serhou Guirassy telah mengikat gol pembukaan Callum Hudson-Odoi.

Sevilla, pemenang Liga Europa pada musim lepas, tidak akan mempertahankan piala mereka selepas mara ke peringkat 16 terakhir dalam pertandingan kelab elit di Eropah dan berbuat demikian dengan kemenangan 2-1 ke atas Krasnodar di Rusia, dalam perlawanan yang berlangsung di hadapan penonton yang agak ramai.

Sevilla dan Chelsea sama-sama mengutip 10 mata tetapi pasukan Frank Lampard pergi ke Sepanyol pada minggu depan, di mana pemenang akan menduduki tempat teratas.

Manchester United (MU) menduduki tempat teratas dalam Kumpulan H selepas dua jaringan Fernandes pada separuh masa pertama memulakan usaha mereka untuk mencapai kemenangan 4-1 ke atas Istanbul Basaksehir yang menebus kekalahan 2-1 di Turki dalam perlawanan sebelum ini.

“Ia adalah malam Liga Juara-Juara di Old Trafford, kita sudah tentu menjangkakan bahawa mereka akan bermain dengan seronok,” kata pengurus MU Ole Gunnar Solskjaer mengenai pasukannya. “Kami menjaringkan beberapa gol yang sangat bagus, saya berpuas hati.”

Pasukan Solskjaer berada tiga mata di depan Paris Saint-Germain (PSG) dan RB Leipzig, selepas tendangan penalti awal Neymar memberikan kemenangan 1-0 kepada kelab Perancis itu ke atas pasukan pelawat dari Jerman.

PSG akan bertandang ke Old Trafford pada minggu depan.

Borussia Dortmund memerlukan hanya satu mata lagi untuk layak dari Kumpulan F ekoran kemenangan 3-0 ke atas Club Brugge selepas Haaland yang prolifik menjaringkan dua gol sebelum dan selepas tendangan percuma Jadon Sancho di Jerman.

Haaland sudah menjaringkan 16 gol pada musim ini, dan kini sudah menjaringkan 16 gol dalam Liga Juara-Jura dalam hanya 12 penampilan sahaja – Messi ada dua jaringan dan Ronaldo kosong selepas jumlah penampilan yang sama.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan mereka, Ciro Immobile, menemui sasaran sebanyak dua kali, termasuk menerusi satu tendangan penalti, apabila Lazio menewaskan Zenit Saint-Petersburg 3-1 di Rom, satu keputusan yang menyingkirkan kelab Rusia itu. — AFP

Advertisement