Anda di sini

Firmino pelengkap skuad

Advertisement
 Gambar fail menunjukkan aksi Firmino (tengah) ketika beraksi dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Liverpool dan Leicester City di Anfield pada 22 November lalu. — Gambar AFP
TONGGAK: Gambar fail menunjukkan aksi Firmino (tengah) ketika beraksi dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Liverpool dan Leicester City di Anfield pada 22 November lalu. — Gambar AFP

LONDON: Pengurus Liverpool Jurgen Klopp berkata Roberto Firmino merupakan pemain penting di dalam ‘orkestra’ di Anfield walaupun penyerang Brazil itu jarang menjaringkan gol untuk juara Liga Perdana Inggeris itu.

Tandukan Firmino dalam kemenangan 3-0 pada Ahad lepas ke atas Leicester merupakan golnya yang keenam pada keseluruhan tahun 2020.

Kekurangan jaringan Firmino amat berbeza sekali dengan tiga penyerang Klopp yang menjaringkan gol dengan bebas, Mohamed Salah, Sadio Mane dan Diogo Jota.

Pemain berusia 29 tahun itu tidak pernah dianggap sebagai penyudah yang tulen, tetapi kritikan mengenai kekurangan jaringannya semakin meningkat sejak beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun Klopp, yang menyaksikan pasukannya menerima kunjungan Atalanta dalam Liga Juara-Juara semalam, menegaskan nilai Firmino diukur bukan dengan jaringan sahaja.

“Menjaringkan gol sentiasa penting bagi Bobby tetapi Bobby adalah seorang pemain bola sepak yang lengkap,” kata Klopp kelmarin.

“Sebuah pasukan bola sepak adalah umpama sebuah orkestra, kita ada orang yang berbeza untuk alat yang berbeza, dan ada daripada mereka yang lebih nyaring daripada orang lain, tetapi semua mereka adalah penting untuk membentuk irama.

“Bobby bermain 12 alat dalam orkestra kami. Dia sangat penting bagi irama kami.”

Prestasi cemerlang Jota sejak dia tiba dari Wolves telah menimbulkan tanda tanya tentang tempat Firmino dalam barisan kesebelasan utama, tetapi Klopp berkata dia tidak bimbang mengenai pemain Brazil itu.

“Saya tidak bimbang tentang apa-apa dengan Bobby, tetapi saya tahu dari semasa ke semasa, dia menjaringkan gol,” katanya.

“Gol ini penting, dan apa yang saya paling suka adalah reaksi pemain. Anda melihat kegembiraan mereka.

“Pemain sudah tentu membaca akhbar, malangnya, dan mereka melihat beberapa kritikan, jadi mereka amat gembira melihatnya menjaringkan gol.” — AFP

Advertisement