Anda di sini

COVID-19: Anggota, ahli keluarga pegawai keselamatan Konsulat Malaysia di Pontianak, antara kes baharu di Sarawak

Advertisement
 

KUCHING: Dua warganegara tempatan yang baharu balik dari Pontianak, Kalimantan Barat antara empat kes baharu COVID-19 yang direkodkan di Sarawak hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memaklumkan, kedua-dua kes melibatkan mereka yang baharu balik dari Pontianak pada 24 November 2020.

"Mereka ini adalah anggota dan ahli keluarga pegawai keselamatan di Konsulat Malaysia di Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia.

"Mereka telah tiba di Sarawak melalui Pintu Masuk Antarabangsa ICQS Tebedu, di Serian dan telah dimasukkan ke pusat kuarantin di Kuching bagi menjalani tempoh kuarantin wajib selama 14 hari.

"Kedua-dua kes telah menjalani saringan COVID-19 pada 24 November 2020 didapati positif rT-PCR pada hari ini," kata jawatankuasa menerusi kenyataan, hari ini.

JPBNS berkata, bagaimanapun kedua-dua kes tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala jangkitan COVID-19 dan kes-kes ini telah dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.

Selain itu, pengesanan kontak rapat semasa dalam perjalanan balik ke Kuching kepada kes-kes ini juga sedang giat ijalankan.

Kes itu juga dikategorikan sebagai kes yang telah mendapat jangkitan di luar negara iaitu semasa berada di Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia dan kes adalah kes Import A.

JPBNS berkata selain dua kes berkenaan dua lagi kes turut dikesan di Kuching, yang sekaligus menjadikan empat kes direkodkan di Sarawak hari ini.

"Dua lagi kes merupakan kes Import B, melibatkan individu balik dari Sabah.

"Kes merupakan dua warganegara tempatan yang baru balik dari Sabah menggunakan penerbangan dari Kota Kinabalu ke Kuching pada 25 November 2020," katanya.

Jawatankuasa menjelaskan, mereka telah menjalani saringan COVID-19 sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).

Mereka kemudian telah dimasukkan ke pusat kuarantin di hotel bagi menjalani tempoh kuarantin wajib selama 14 hari.

"Kedua-dua kes telah didapati positif rT-PCR pada hari yang sama. Kedua-dua kes juga tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala jangkitan COVID-19," katanya sambil menambah kes telah dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjutan.

Pengesanan kontak rapat semasa dalam perjalanan balik ke Kuching kepada kes-kes ini sedang giat dijalankan, jelas jawatankuasa.

Kes ini dikategorikan sebagai kes yang telah mendapat jangkitan di kawasan berisiko COVID-19 iaitu semasa berada di Sabah dan kes ini adalah kes Import B.

Sementara itu JPBNS berkata, tiada kluster baharu dilaporkan di negeri ini, hari ini dan ia kekal enam kluster.

Antaranya Kluster Besi, Kluster Jalan Abell, Kluster Baki, Kluster Seladah, Kluster Greenhill dan Kluster Wisma Saberkas.
 

  • oleh
  • Advertisement