Anda di sini

Bolehkah konsep UBI jadi penyelamat kejatuhan ekonomi semasa COVID-19?

Advertisement

KUALA LUMPUR: Di tengah-tengah pandemonium sosial dan kejatuhan ekonomi disebabkan wabak COVID-19, seorang ahli akademik tempatan percaya konsep yang agak revolusioner yang dicuba di Kanada boleh dipertimbangkan semula, konsep pendapatan asas sejagat (UBI).

Prof Madya Dr Soon Jan-Jan dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia berkata, UBI dianggap sebagai penawar terhadap kesulitan ekonomi yang dihadapi oleh akar umbi iaitu pemberian elaun bulanan tanpa syarat kepada semua rakyat dewasa untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan pendidikan.

Ia berunsurkan kesejagatan, tanpa syarat, berkala dan murni, UBI diberi tanpa mengira status pekerjaan atau pendapatan dengan penerima tidak perlu melakukan apa-apa dan boleh meraih manfaat daripadanya.

“Eksperimen UBI dijalan-kan di sebuah bandar kecil di Kanada, Dauphin, selama empat tahun pada pertengahan tahun 1970-an, adalah antara eksperimen UBI berskala besar paling awal dan paling berjaya dengan penduduk menerima pendapatan bulanan asas, tahap pendapatan minimum,” katanya kepada Bernama.

Mitos yang sentiasa diperkatakan mengenai UBI dan menimbulkan  keraguan terhadap kebolehlaksanaannya adalah wang percuma hanya akan menjadikan pene-rimanya semakin malas, tetapi Soon berkata mitos ini telah disangkal berdasarkan keputusan eksperimen Dauphin dan banyak lagi kajian berikutnya.

Para penyelidik mendapati bukan sahaja tiada penurunan ketara dalam waktu bekerja, aspek-aspek lain menyaksikan peningkatan luar biasa contohnya prestasi pembelajaran lebih baik di sekolah, kes keganasan rumah tangga berkurangan, kurang kemasukan ke hospital dan pilihan perbelanjaan penggunaan yang lebih baik, antara lain. — Bernama

Advertisement