Anda di sini

Belanjawan Sabah 2021 perlu merangkumi secara keseluruhan membangunkan ekonomi rakyat

Advertisement
 Ruslan (kanan) dan ADUN Klias Datuk Isnin Aliasnih (kiri) tiba di pejabat Majlis Daerah Beaufort.
TIBA: Ruslan (kanan) dan ADUN Klias Datuk Isnin Aliasnih (kiri) tiba di pejabat Majlis Daerah Beaufort.

BEAUFORT: Belanjawan Negeri Sabah 2021 yang bakal dibentang perlu memberi tumpuan kepada usaha membantu meningkatkan ekonomi rakyat secara menyeluruh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharan berkata, keperluan setiap rakyat perlu diberi perhatian terutama yang di luar bandar yang hanya bergantung hidup sebagai petani dan nelayan.

Katanya, bagi memastikan golongan tersebut mendapat manfaat daripada Belanjawan Sabah 2021 perhatian khusus perlu diberi untuk industri pertanian dan perikanan.

Katanya, perkara itu perlu kerana kehidupan hampir setiap rakyat boleh dikatakan terjejas disebabkan pandemik COVID-19 yang kesannya lebih buruk kepada golongan berpendapatan rendah seperti petani dan nelayan

“Golongan rakyat seperti petani dan nelayan adalah kumpulan yang amat tertekan disebabkan pandemik COVID-19, oleh itu kerajaan perlu mencari jalan bagi membantu mereka,” katanya dalam satu kenyataan selepas hadir pada majlis angkat sumpah sebagai Ahli Majlis Daerah Beaufort yang diadakan di Pejabat Majlis Daerah Beaufort, kelmarin. 

Katanya, dalam apa juga tindakan yang dilakukan oleh kerajaan kesejahteraan rakyat perlu diutamakan lebih-lebih lagi ketika negara berhadapan dengan krisis COVID-19.

Beliau berkata, setiap agensi kerajaan yang menyediakan khidmat secara langsung kepada rakyat perlu diberikan peruntukan yang lebih supaya dapat melaksanakan pelbagai program yang memberi manfaat dan kesan secara langsung kepada masyarakat.

 “Contohnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan banyak kemudahan asas untuk rakyat perlu dipertingkatkan seperti meningkatkan bekalan air bersih, membaiki paip air yang rosak, menyelenggara parit dan sungai serta membaiki jalan raya.

“Ini memerlukan tindakan segera daripada jabatan kerajaan seperti Jabatan Air, Jabatan Parit dan Saliran dan Jabatan Kerja Raya. Untuk itu mereka memerlukan peruntukan yang mencukupi daripada Belanjawan 2021,” katanya.

Di DUN Lumadan katanya, rakyat kerap berhadapan dengan masalah ekoran selalu berlaku banjir yang mana ia memerlukan parit dan sungai diselenggara pada kadar segera di samping banyak jalan raya yang perlu dinaik taraf.

“Semua ini tidak dapat dilakukan jika peruntukan untuk agensi-agensi kerajaan terbabit tidak mencukupi. Dan kesannya rakyat yang terpaksa tanggung,” katanya.

Menurutnya, selain petani dan nelayan, hidup para peniaga kecil khususnya peniaga di tapak-tapak tamu  juga semakin sukar ketika ini ekoran pendapatan mereka terjejas disebabkan pandemik COVID-19.

Oleh itu katanya, kerajaan perlu melakukan sesuatu terutama melalui Belanjawan 2021 bagi membantu golongan rakyat yang terjejas ini supaya mereka dapat bangkit semula membina kehidupan.

  • oleh
  • Advertisement