Anda di sini

Anggota PGA cedera ringan terkena tembakan di Bukit Kayu Hitam

Advertisement
Tinjauan BERNAMA di sekitar Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam malam Rabu. Seorang lagi anggota Batalion 3 PGA dilaporkan cedera selepas terkena tembakan ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand di Pos M 16 Bukit Kayu Hitam petang Rabu.
Tinjauan BERNAMA di sekitar Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam malam Rabu. Seorang lagi anggota Batalion 3 PGA dilaporkan cedera selepas terkena tembakan ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand di Pos M 16 Bukit Kayu Hitam petang Rabu.

ALOR SETAR: Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) cedera ringan selepas terkena tembakan ketika sedang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand dekat Bukit Kayu Hitam, petang Rabu.

Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 6.15 petang semasa anggota PGA itu sedang menjalankan rondaan bersama seorang anggota lain di kawasan berkenaan.

"Anggota berkenaan yang memakai baju kalis peluru ketika itu tiba-tiba berasa pedih di bahagian perut. Dia kemudian memeriksa bahagian perutnya dan mendapati terdapat kesan bulatan. 

"Beliau (mangsa) kemudian melihat ada kelibat manusia di kawasan itu. Kita syak dia ditembak menggunakan senapang angin yang dipercayai datang dari arah negara jiran,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata anggota berkenaan yang berusia 26 tahun telah membuat laporan di Balai Polis Bukit Kayu Hitam, dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. 

"Kita akan siasat dan kenakan tindakan tegas terhadap individu yang melepaskan tembakan ke arah anggota penguatkuasa yang sedang menjalankan tugas," katanya.

Kejadian itu adalah yang kedua membabitkan serangan ke atas anggota PGA selepas insiden melibatkan dua anggota pasukan itu berbalas tembakan dengan penyeludup di Pos TS9 berdekatan Padang Besar, Perlis, awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada 3.10 pagi itu, anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, maut, manakala Sarjan Norihan Tari, 39, parah, terkena tembakan. - BERNAMA

Advertisement