Anda di sini

UMS sedia saringan COVID-19 pandu-lalu

Advertisement
 UMS kini menyediakan saringan COVID-19 secara pandu-lalu.
SARINGAN: UMS kini menyediakan saringan COVID-19 secara pandu-lalu.

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini menyediakan perkhidmatan saringan COVID-19 secara pandu-lalu kepada orang ramai.

Pengarah Pusat Rawatan Warga (PRW) UMS Dr. Muhammad Syafiq Abdullah berkata, perkhidmatan itu dibuka setiap hari di PRW yang berhampiran dengan Pusat Sukan UMS.

Katanya, orang ramai boleh datang membuat saringan pada jam 9.30 pagi hingga 12 tengah hari atau jam 2.30 hingga 4.30 petang. 

"Saringan COVID-19 dijalankan di lobi PRW dengan cepat, cermat dan selamat tanpa perlu turun dari kereta,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, bayaran untuk saringan yang menggunakan kaedah 'rapid test' dikenakan sebanyak RM95, manakala bayaran untuk kaedah 'COVID-19 rt-PCR' berjumlah RM333.

Beliau berkata, semua pembayaran dan resit boleh dilakukan dan diterima secara perbankan atas talian.

Katanya, langkah itu bagi mengelakkan sebarang sentuhan sekali gus mengurangkan risiko penularan pandemik COVID-19.

"Inisiatif ini dijalankan PRW dengan kerjasama Hospital UMS (HUMS) dan makmal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS.

"Ia sebagai salah satu usaha melalui bidang kepakaran dan kelengkapan UMS untuk sama-sama membantu memerangi pandemik COVID-19.

"Kita mempunyai petugas kesihatan yang berpengalaman membuat ujian swab hampir 5,000 pelanggan sejak April 2020," katanya.

Sementara itu, Pengarah HUMS Prof. Dr. Helen Benedict Lasimbang berkata, perkhidmatan yang ditawarkan itu mampu memberi impak yang tinggi terhadap masyarakat.

Katanya, ia juga dapat mengurangkan risiko penularan dan mengelakkan pembasmian kuman yang tidak perlu di kawasan PRW.

"Mereka yang datang bukan sahaja merasa selesa, malah ia memberi perlindungan kepada petugas kesihatan UMS yang melakukan saringan.

"Inilah inti perkhidmatan HUMS iaitu untuk membawa hospital kepada pelanggan dan bukan pelanggan kepada hospital," jelasnya.

Dekan FPSK UMS Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree berkata, semua proses ujian dan keputusan akan dibuat di makmal FPSK.

Menurutnya, usaha itu boleh mengurangkan masalah logistik dan pengangkutan kerana semua proses dilakukan di dalam kampus. 

Selain itu katanya, para pakar dan juruteknik makmal FPSK turut menimba pengalaman bekerja di lapangan sebagai bekalan berharga apabila HUMS siap pada akhir 2022.

"Ia juga sekali gus merealisasikan sebahagian daripada janji fakulti ini untuk sentiasa memberi tumpuan dan mengutamakan keperluan penduduk Sabah," katanya.

Orang ramai boleh menghubungi talian 088-329054 untuk panggilan telefon atau pesanan mesej menerusi aplikasi WhatsApp bagi mendapatkan maklumat lanjut.

  • oleh
  • Advertisement