Anda di sini

Syabu, pil ecstacy bernilai lebih RM2.4 juta dirampas

Advertisement
 Ahmad Fuad (empat kiri) menunjukkan dadah jenis syabu yang berjaya dirampas dalam operasi tersebut.
RAMPASAN : Ahmad Fuad (empat kiri) menunjukkan dadah jenis syabu yang berjaya dirampas dalam operasi tersebut.

TAWAU: Dadah jenis syabu seberat 54.35 kilogram dan 234 biji pil ecstacy seberat 74.56 gram bernilai lebih RM2.4 juta berjaya dirampas dalam Op Cegah Pendatang Tanpa Izin (OCP) Selatan di perairan Tawau Lama di sini pada Isnin.

Dalam kejadian jam 9.20 malam itu, dadah yang disimpan di dalam tiga kotak berasingan dipercayai cuba diseludup menggunakan sebuah bot laju dari Tawau ke negara jiran.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Datuk Ahmad Fuad Othman berkata rampasan itu dilakukan selepas radar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesan pergerakan bot tersebut yang naiki dua lelaki dari perairan Tawau.

Menurutnya, aset-aset laut ESSCom yang terdiri daripada Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya memintas bot suspek.

Bagaimanapun, menyedari kehadiran pasukan keselamatan, bot berkenaan berpatah balik ke arah Kuala Sungai Tawau Lama untuk melarikan diri bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

"Pasukan Gerakan Am (PGA), ATM dan Narkotik IPD Tawau yang menjalankan tugas rondaan OCP Daratan bergegas ke lokasi pendaratan suspek untuk melakukan serbuan.

"Semasa serbuan dilakukan, berlaku kejar mengejar sebelum kedua-dua suspek berkenaan berjaya melarikan diri di kawasan gelap dan usaha mengesan mereka masih diteruskan,"katanya ketika sidang media di IPD Tawau di sini.

Ahmad Fuad berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan oleh suspek mendapati terdapat tiga kotak berlainan saiz iaitu kotak pertama berisi 36 bungkus teh Cina berisi disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 38,169.49 gram.

"Kotak kedua pula mengandungi lapan bungkusan yang sama disyaki syabu anggaran berat 8,455.63 gram manakala kotak ketiga mengandungi enam bungkusan warna hitam dan sebuah bungkusan warna hijau disyaki dadah jenis syabu seberat 7,733.08 gram.

Selain itu, dalam kotak ketiga itu juga mengandungi satu paket plastik yang berisi 190 biji pil ecstacy warna merah jambu, pil ecstacy warna oren (40 biji), dan pil ecstacy warna biru (4 biji) dengan anggaran berat keseluruhan 74.56 gram.

Beliau berkata, kejayaan ini merupakan rampasan terbesar dadah jenis syabu oleh ESSCom sejak melancarkan OCP Darat dan Laut di Kawasan Zone Selamat Timur Sabah (ESSZone) bermula Mac lepas.

"Kesemua dadah dan pil ecstacy tersebut dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,"katanya.

Beliau dalam pada itu menjelaskan dadah berkenaan dipercayai daripada tanah besar Sabah namun enggan mendedahkan lokasi sebenar dan siasatan masih dijalankan sama ada ianya daripada sindiket antarabangsa atau sebaliknya.

"Dalam kes ini suspek menggunakan sebuah bot laju berserta enjin sangkut 200hp yang dipercayai daripada negara jiran dan berdasarkan kuasa enjin itu selalunya dimiliki individu yang berduit (kaya),"katanya lagi.

Terdahulu beliau berkata, gabungan kerjasama pelbagai agensi keselamatan dalam OCP Darat dan Laut di ESSZone berjaya mencegah aktiviti penyeludupan, jenayah rentas sempadan dan elemen kumpulan penculikan untuk wang tebusan (KFRG).

"Kombinasi tersebut menunjukkan usaha yang begitu berkesan dan produk ESSCom ini wajar diteruskan pada masa akan datang untuk keamanan di ESSZone,"katanya lagi.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Mazli Mazlan, Ketua Staf OP Darat ESSCom SAC Chandrasehkaran A/L Muthu, Ketua OP Laut ESSCom Laksamana (M) Hamid Mohd Amin, Ketua Pusat Operasi ESSCom Brig Jen Hamzah Mohd Ali, Panglima 13 Briged Cenderawasih ATM Brig Jen Abd Razak Husain dan KJP Sabah SAC Zabidi Md Zain.

  • oleh
  • Advertisement