Anda di sini

Pengembara dari Sabah perlu jalani ujian COVID-19 tiga hari sebelum berlepas

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Pengembara dari Sabah hanya perlu menjalani swab ujian pengesanan COVID-19 tiga hari sebelum berlepas dari Sabah ke negeri lain di Malaysia.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan juga merangkap Menteri Kewangan II Datuk Seri Masidi Manjun berkata prosedur berkenaan bermula pada 25 November 2020.

Menurutnya, sekiranya individu terbabit positif ujian pengesanan COVID-19 atau bergejala, mereka tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan keluar dari Sabah. 

"Bagi mereka yang positif COVID-19, mereka akan dirujuk ke hospital untuk isolasi, rawatan dan pemantauan. Manakala, bagi individu yang bergejala akan dirujuk untuk menjalani pemeriksaan. 

"Bagi pengembara yang dibenarkan meneruskan perjalanan keluar dari Sabah pula, mereka akan melalui saringan demam dan gejala, pemeriksaan laporan ujian swab pengesanan COVID-19 dan diwajibkan penggunaan aplikasi MySejahtera setibanya di Pintu Masuk Negara di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. 

"Sekiranya mereka tidak bergejala dan laporan ujian makmal COVID-19 disahkan negatif, pengembara ini tidak lagi perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari," jelasnya.

Masidi berkata demikian dalam satu kenyataan Laporan Harian Kes Jangkitan COVID-19 pada Selasa.

Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Masidi berkata jumlah kes positif baharu COVID-19 di negeri ini adalah sebanyak 232 kes yang menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 26,619 kes. 

"Daripada 232 kes positif COVID-19 hari ini (24 November), sebanyak 96 kes (41.38%) adalah dari daerah Kota Kinabalu, Lahad Datu, Beluran dan Kota Belud yang berpunca dari saringan kontak rapat. Selebihnya iaitu 136 kes adalah dari lain-lain kategori," katanya.

Selain itu, beliau berkata terdapat tiga kes kematian dicatatkan iaitu dua kes di daerah Lahad Datu dan satu kes di daerah Tawau. 

Manakala, Masidi juga berkata seramai 833 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif 19,721 orang.

Tambahnya, seramai 2,266 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 671 orang di hospital dan 1,595 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC), manakala bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 79 orang dan 18 orang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Mengenai jumlah kapasiti katil di Hospital COVID-19, Masidi berkata terdapat sebanyak 1,007 katil manakala di PKRC adalah 5,569 katil menjadikan jumlah keseluruhan 6,576 katil dan peratus penggunaan katil adalah 34.45%.

Dalam pada itu, beliau juga berkata sebanyak 72 Sekatan Jalan Raya (SJR) telah dilaksana melibatkan pemeriksaan 43,323 kenderaan.

"Daripada jumlah tersebut, 121 buah kenderaan diarah berpatah balik. Satu tangkapan dan 11 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar SOP COVID-19. PDRM juga telah melaksanakan 73 hebahan melalui kereta peronda," katanya dan menambah bahawa kadar pematuhan penduduk terhadap SOP PKPB ialah 97.63%.

"Penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin yang melibatkan 41 pemeriksaan di kawasan Pantai Timur dan 26 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan. 

__alt__

"Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah telah melaksanakan sanitasi di 24 premis di 10 buah daerah iaitu Sipitang, Kota Belud, Keningau, Beluran, Tawau, Lahad Datu, Semporna, Sandakan, Kota Kinabalu dan Kinabatangan. 

"Hebahan umum Info On Wheels Jabatan Penerangan Sabah mengenai pematuhan SOP, amalkan 3W, elakkan 3C dan pembudayaan norma baharu telah dilaksanakan di 98 lokasi di 16 daerah. Hebahan dibuat dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Bajau, Bahasa Mandarin dan Bahasa Dusun," katanya.

Sehingga hari ini, Masidi juga berkata sebanyak 224,251 bakul makanan telah diagihkan kepada golongan sasar.

  • oleh
  • Advertisement